Syarikat logistik diarah bayar lebih RM500,000 elak bayar tol | DagangNews Skip to main content

Syarikat logistik diarah bayar lebih RM500,000 elak bayar tol

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 April - Mahkamah Persekutuan telah mengarahkan sebuah syarikat logistik untuk membayar sebanyak RM518.369.27 dengan kos RM100,000.00 susulan kegagalan pemandu syarikat tersebut membayar tol di lebuh raya Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS).

 

PLUS menerusi sebuah kenyataan memberitahu, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa Berjasa Logistics Sdn Bhd, sebelum ini dikenali sebagai Sin Kung Logistics (KL) Sdn Bhd telah dipertanggungjawabkan dengan liabiliti vikarius (vicarious liability) kerana pemandu dan/atau pekerja syarikat terbabit gagal untuk menjelaskan jumlah tol yang telah ditetapkan.

 

“PLUS mengingatkan para pemilik kenderaan. terutama sekali pemilik kenderaan berat, yang menggunakan lebuh raya kendalian PLUS supaya bertanggungjawab terhadap perlakuan pemandu dan/atau pekerja mereka sekiranya pemandu dan/atau pekerja mereka didapati gagal membayar tol sewaktu menggunakan lebuh raya. 

 

“PLUS memandang serius tindakan segelintir pemandu kenderaan yang dengan sengaja mengelak untuk membayar tol. 

 

“PLUS juga memohon kerjasama semua syarikat logistik dan pemilik kenderaan berat supaya memandang serius perkara ini dan seterusnya memantau tindakan pemandu dan/atau pekerja mereka,” jelas PLUS.

 

Terdahulu, PLUS  telah membuat tuntutan terhadap Berjasa Logistics yang melibatkan 19 buah kenderaan milik syarikat berkenaan yang dipandu oleh pemandu-pemandunya telah dengan sengaja mengelak daripada membayar tol di lebuh raya PLUS sejak beberapa tahun lalu. 

 

Keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut adalah berikutan rayuan Berjaya Logistics terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 Julai 2017 yang membenarkan tuntutan PLUS.

 

“Di samping itu, PLUS telah mengenalpasti beberapa taktik penipuan tol yang digunakan oleh pemandu-pemandu kenderaan berat dan sedang mengambil langkah-langkah pencegahan yang perlu termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat. 

 

“Pada masa yang sama, PLUS juga berkolaborasi bersama-sama pihak berkuasa yang berkenaan bagi membendung kejadian penipuan pembayaran tol di lebuh raya,” tambah PLUS. - DagangNews.com