KUALA LUMPUR 14 Feb - Syarikat swasta harus terlibat dalam pengkomersialan teknologi berasaskan sawit yang dibangunkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) supaya ia dapat digunakan industri dan usahawan tempatan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Johari berkata, pihak swasta seperti FGV dan Sime Darby boleh diminta bekerjasama dengan MPOB untuk melakukan percubaan bagi tujuan tersebut.
Beliau berkata, sehingga kini, MPOB berjaya membangunkan 714 teknologi merangkumi semua sektor dalam industri sawit termasuk formulasi produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit.
"Sebanyak 233 teknologi atau 32.7% daripada teknologi tersebut telah dikomersialkan dan diterima pakai oleh industri dan usahawan tempatan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Terdahulu, Johari yang diiringi timbalannya, Datuk Chan Foong Hin membuat lawatan ke fasiliti penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB di Bangi, Selangor.
Turut hadir Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha dan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Menurut Johari, teknologi MPOB dalam menghasilkan formulasi makanan seperti analog keju Mozzarella berasaskan sawit adalah produk baik yang boleh digunakan dalam pembuatan piza di Malaysia.
Katanya, analog keju Mozzarella berasaskan sawit dirumus menggunakan minyak sawit sebagai pengganti lemak susu dan tidak mengandungi kolesterol dan asid lemak trans.
"Analog ini mempunyai kualiti dan fungsi yang sama seperti keju Mozzarella berasaskan susu komersial dan sesuai untuk membuat piza," katanya.
Selain itu, beliau juga berharap teknologi kejayaan MPOB dalam menghasilkan formulasi pelet makanan untuk lembu pedaging dapat mengurangkan import makanan haiwan Malaysia sekurang-kurangnya 10% dan membolehkan negara mengeksport produk itu.
Katanya, teknologi yang menggunakan produk sawit itu menawarkan alternatif kepada bahan mentah yang mampu mengurangkan kos pengeluaran makanan haiwan yang tinggi.
"Percubaan komersial produk tersebut mendapati ia tidak menjejaskan nilai pemakanan produk tersebut.
"Formulasi pelet makanan ini, yang mengandungi lebih 80% bahan berasaskan sawit, termasuk dedak isirung sawit, tandan buah kosong dan minyak sawit mentah adalah komponen nutrisi lengkap untuk pertumbuhan lembu pedaging mengikut spesifikasi nutrien," katanya. - DagangNews.com