TA Research unjur larangan China terhadap penggunaan peranti jenama asing beri kesan minimum kepada Inari | DagangNews Skip to main content

TA Research unjur larangan China terhadap penggunaan peranti jenama asing beri kesan minimum kepada Inari

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Sept - Larangan kerajaan China terhadap penggunaan peranti jenama asing termasuk iPhone bagi tujuan kerja dijangka memberi kesan minimum kepada Inari Amertron Berhad.

 

TA Research berkata, China menyumbang 19% daripada jualan pelanggan akhir utama Amerika Sarikat (AS) pada tahun fiskal terbarunya. 

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan impak minimum kepada Inari iaitu 1%/1.7% hasil/pendapatannya untuk setiap 10% penurunan dalam jualan yang dialami pelanggan AS di China," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu memberikan respon terhadap laporan yang mendakwa China telah mengharamkan peranti itu di pejabatnya.

 

Katanya, Inari sangat bergantung pada pereka cip fabless AS Broadcom, yang merupakan pembekal komponen utama kepada Apple. Pendedahan Inari di Broadcom lebih kepada cip frekuensi radio.

 

Inari merupakan antara kaunter yang paling rugi dalam dagangan pagi Jumaat, jatuh sebanyak 12 sen, atau 4%, kepada paras rendah RM2.88. 

 

Saham itu turun 14 sen, atau 4.67%, pada RM2.86, menilai pembekal pemasangan dan ujian semikonduktor penyumberan luar terbesar negara itu pada RM10.7 bilion.

 

TA Research berkata, walaupun kemelesetan kitaran dalam sektor semikonduktor berterusan, perlu diperhatikan bahawa trend menunjukkan industri berada di landasan untuk pemulihan menjelang 2024.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu tidak menolak kemungkinan bahawa pemulihan memakan masa lebih lama terutama selepas kebimbangan terhadap ekonomi China yang semakin perlahan selain tekanan berterusan daripada kadar faedah yang tidak menentu.

 

“Kami menyukai Inari kerana prospek pertumbuhannya yang kukuh, disokong oleh tema 5G, daya tarikan dengan usaha kepelbagaian pelanggan, dan keuntungan purata industri di atas.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.50 sesaham," katanya.  - DagangNews.com