Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin (kiri) dan Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria (kanan).
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 12 Ogos - Inisiatif Pelaburan Rakyat (Perkukuh) akan menjadi pemangkin kepada transformasi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) berdasarkan peranan pentingnya sebagai tonggak pembangunan ekonomi negara.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, Perkukuh adalah platform tepat bagi Malaysia untuk menghadapi krisis masa kini yang mana usaha dan langkah perlu diambil bagi mendepani persekitaran global yang semakin kompetitif.
Menerusi Perkukuh, katanya Tabung Haji akan melaksanakan inisiatif bagi meningkatkan aspek tadbir urus dan kawalan untuk melindungi institusi ini dan pendeposit, menambahbaik operasi dan kecekapan serta menjana keuntungan dan pulangan yang berterusan kepada pendeposit bagi memastikan kelangsungan kewangan.
"Tidak dinafikan pandemik ini memberi cabaran hebat, namun kita telah mengatasi pelbagai cabaran ekonomi sebelum ini dan kini sudah tiba masanya untuk GLIC menerajui fasa transformasi baru bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
"Inisiati ini juga memberi peluang untuk Tabung Haji menyusun semula dan memperkukuhkan urus tadbir dan kedudukan kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebagai satu-satunya pengurus perkhidmatan haji Malaysia, Tabung Haji telah meluaskan skop kepakarannya dengan membantu 1.5 juta rakyat Malaysia menunaikan haji sejak tahun 1963 dan diiktiraf di peringkat dunia sebagai perkhidmatan haji cemerlang.
Tabung Haji juga memiliki pengalaman dan kepakaran 58 tahun dalam bidang syariah, merangkumi aspek operasi dan pelaburan.
Baca : Perkukuh : Inisiatif perkenal semula peranan, perbaharui kemampuan GLIC
Baca : GLIC akan diperhebatkan dengan inisiatif Perkukuh
Inisiatif Perkukuh yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bertujuan antara lain, untuk menguatkan fokus dan memberi penekanan terhadap mandat khusus bagi dana kekayaan berdaulat dan inistitusi pelaburan rakyat.
Perkukuh merangkumi 20 inisiatif utama bagi mencapai 5 hasil utama, iaitu mandat yang lebih jelas bagi setiap GLIC; peningkatan tumpuan terhadap pelaburan untuk pembangunan dan yang menjadi pemangkin untuk memacu pertumbuhan baharu dan meningkatkan kesan sosio ekonomi.
GLIC akan dibahagikan kepada 2 kategori, iaitu Dana Kekayaan Negara atau Sovereign Wealth Fund, yang merangkumi entiti seperti Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP, Kumpulan Wang Amanah Negara atau KWAN dan Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MOF Inc.
Kategori kedua adalah pelabur institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Sementara itu, PNB menyifatkan pengumuman tersebut memperkukuhkan lagi perbezaan antara GLIC sebagai Pelabur Institusi dan Dana Kekayaan Berdaulat, memberikan kejelasan yang lebih terperinci mengenai peranan dan fungsi berbeza yang dijalankan oleh setiap GLIC.
Selain itu, ia juga meningkatkan fokus organisasi dalam mendukung mandat khusus untuk pihak berkepentingan masing-masing.
Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, sebagai pemegang saham dan pengawas kepada banyak syarikat Malaysia, PNB akan memperuntukkan sumber yang besar untuk ESG (alam sekitar, sosial, tadbir urus) bagi memastikan portfolio pelaburannya beralih ke arah model dan amalan perniagaan mampan.
Beliau berpandangan pulangan mampan jangka panjang hanya boleh diperoleh daripada amalan lestari.
“Kerjasama sinergi semua GLIC akan membawa impak positif ke atas pasaran modal dan ekonomi negara.
"Kami di PNB tetap komited untuk terus mendukung mandat kami untuk meningkatkan kekayaan masyarakat bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia, dengan memastikan pelaburan kami menjana pulangan mampan yang akhirnya akan memberi manfaat kepada seluruh negara,” jelasnya. - DagangNews.com