Tambahan RM2 cukai khas minyak sawit, beban kepada industri - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Tambahan RM2 cukai khas minyak sawit, beban kepada industri - Maybank IB

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Tambahan cukai khas atau ses sebanyak RM2 bagi setiap tan minyak sawit kepada RM16 tidak dinafikan memberi impak perolehan yang kecil kepada industri berkenaan. 

 

Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) sebaliknya melihat langkah itu hanya meletakkan beban ke atas kepada pemain industri tersebut.

 

Ses RM2 hanya 0.05% daripada harga semerta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) iaitu RM3,926 setiap tan (18 Februari) atau 0.07% daripada purata harga jualan minyak sawit mentah (MSM). 

 

“Walaupun impaknya kecil memandangkan harga MSM semasa tinggi, namun ia hanya menambah beban kepada sebuah industri yang sememangnya menyumbangkan bayaran cukai tertinggi di negara ini dengan kadar pelaksanaaan cukai melebihi 30%. 

 

“Selain daripada ses dan cukai korporat sebanyak 24%, industri itu juga perlu membayar cukai keuntungan durian runtuh, duti eksport (dengan kadar progresif 3%-8%) dan cukai negeri bagi pemain industri di Sabah (potongan harga 7.5% daripada hasil apabila harga MSM melebihi MYR1,000/tan) dan Sarawak (5% apabila harga MSM melebihi RM1,500/tan).

 

“Ini berbeza dengan negara-negara membangun lain di mana sektor pertanian mereka diberikan subsidi tinggi,” jelas Maybank IB dalam nota kajiannya. 

 

Pada 18 Februari lalu, kerajaan meningkatkan kutipan ses ke atas produk sawit yang terdiri daripada MSM dan minyak isirung kelapa sawit yang dihasilkan di negara ini kepada RM16 setiap tan daripada RM14.

 

Tambahan RM2 setiap tan itu digazetkan menerusi Perintah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Ses) (Pindaan) 2021 pada 15 Februari 2021 yang dikuatkuasakan pada keesokan harinya, 16 Februari 2021.

 

“Tidak jelas untuk apa kegunaan tambahan ses itu, tetapi tekanan kenaikan kos dan keperluan untuk lebih banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D) mengenai mekanisasi dan automasi mungkin puncanya.

 

“Kami tidak mengubah unjuran perolehan. Kekal ‘positif’ terhadap sektor berkenaan,” tambah Maybank IB.

 

Menurut firma penyelidikan itu, industri berkenaan telah lama meminta kajian semula levi durian runtuh sedia ada untuk meningkatkan ambang yang telah dikuatkuasakan selama lebih daripada satu dekad sementara kos pengeluaran terus meningkat.

 

Ketika ini, industri berkenaan mendesak bantuan kerajaan untuk menyelesaikan isu kekurangan pekerja  di Malaysia yang menyebabkan kerugian tanaman berikutan pembekuan sementara pekerja asing pada tahun 2020 untuk membendung penularan COVID-19.

 

“Walaupun demi keselamatan negara, potensi output industri mungkin berkurangan dengan ketara pada tahun 2021 jika tidak ada pekerja yang mencukupi menjelang musim penuaian puncak berikutnya pada separuh kedua 2021 (2H21),” jelas Maybank IB lanjut. - DagangNews.com