KUALA LUMPUR 26 Jun - Penasihat Khas kepada Ketua Menteri Sabah (Perhubungan Antarabangsa dan Pelaburan Asing Senator Tan Sri Anifah Aman diumumkan sebagai pengerusi Perbadanan Labuan (LC) untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 19 Jun 2023.
Beliau yang juga bekas Menteri Luar, dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan kekosongan jawatan itu sejak pertengahan tahun lalu, menurut kenyataan LC.
Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Labuan merangkap setiausaha PKR Sabah Simsudin Sidek akan bersama Anifah dalam barisan baharu sebagai timbalan pengerusi.
Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Seri Rosida Jaafar mengekalkan jawatannya sebagai ahli lembaga LC sehingga 6 Okt 2025.
Seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Liew Shan Wen turut dilantik sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah LC.
Timbalan Ketua UMNO Labuan Datuk Bashir Alias telah dilantik sebagai pengerusi majlis penasihat LC, dan Ketua Wanita UMNO Labuan Niswati Tarji, sebagai salah seorang ahli majlis itu.
Baki empat ahli majlis masih belum diumumkan.
Jawatan timbalan pengerusi majlis telah dibatalkan untuk penggal 2023-2025 ini. - DagangNews.com