Tangani gejala tidak sihat meraikan sambutan bukan di dalam agama Islam | DagangNews Skip to main content

Tangani gejala tidak sihat meraikan sambutan bukan di dalam agama Islam

Oleh Norazlinda Mohammad

MALAYSIA merupakan negara yang unik kerana adanya kepelbagaian kaum, agama, bangsa dan budaya.  Sifat hormat menghormati telah dipupuk bagi memastikan kita hidup aman, damai, harmoni, bersatu padu tanpa ada prasangka yang boleh mencetuskan perbalahan kaum. 

 

Keharmonian dalam kepelbagaian ini menjadikan Malaysia negara yang sering dicontohi masyarakat luar negara namun sebagai negara yang agamanya Islam sebagai agama rasmi; masyarakat kita kadangkala berdepan dengan isu sensitif yang boleh menggugat fahaman, akidah dan ketenteraman rakyat Malaysia. 

 

Tidak salah kita menghormati kepelbagaian adat, agama, budaya, keraian yang diraikan oleh bangsa lain tetapi perlu ada batasan sehingga tidak menjejaskan amalan, prinsip Islam, pemikiran Tauhid, akidah, syariat, kepercayaan dan agama yang kita anuti iaitu agama Islam. 


 

Norazlinda Mohammad
          Norazlinda Mohammad

 


Akhir-akhir ini terdapat isu dalam kalangan generasi muda yang semakin galak atau terpesong akidahnya dengan terang-terangan menyambut hari keraian yang tidak dituntut di dalam agama Islam. 

 

Contohnya tahun lepas, terdapat video tular memaparkan beberapa wanita beragama Islam dan bertudung meraikan bersama menyanyi seakan lagu Gospel dan menyambut hari Natal. 

 

Pemaparan video itu bukan sahaja menyentuh sensitiviti tetapi juga mengundang pelbagai reaksi, cemuhan dan perbalahan rakyat Malaysia yang beragama Islam bahkan berasa kesal dengan perbuatan yang bertentangan dengan akidah Islam. 

 

Lebih mengecewakan lagi, terdapat selebriti tanah air yang terkenal dengan megah memuat naik video di TikTok menyambut hari Natal bersama seisi keluarga dengan memakai topi Santa Claus serta menghias rumah, bertukar-tukar hadiah tanpa ada rasa malu dan menganggap sambutan itu disambut dengan bermotifkan hanya suka-suka sahaja tanpa memikirkan syariat agama.

 

Fenomena menormalisasi raikan sambutan perayaan yang bukan amalan agama

Bulan Januari bakal meninggalkan kita, Februari akan tiba dan usah melatah dengan perlakuan generasi muda Melayu yang tidak segan silu meraikan Hari Valentine pada 14 Februari ini. 

 

Kononnya niat dan pemahaman mereka ialah untuk menyambut hari berkasih sayang bersama pasangan dan ini jelas amat bertentangan dengan akidah serta agama Islam  yang dipegang. 

 

Bukankah agama Islam menuntut kita mengamalkan sikap berkasih sayang setiap hari dan ketika bukan hanya untuk tanggal 14 Februari. 


 

parafrasa

 


Polemik ini bukan sahaja menyambut hari Kekasih tetapi kesannya kepada keruntuhan akhlak iaitu boleh mengundang kepada maksiat zina dan perlakuan yang tidak bermoral dalam kalangan muda-mudi. 

 

Apakah generasi muda kini kedangkalan akal, buta hati, mudah dijajah pemikiran dan suka mengikut adat, budaya dan agama orang lain sedangkan perayaan atau amalan yang dituntut oleh agama Islam dilupakan sama sekali. 

 

Jangan mudah terpengaruh dengan budaya hedonisme, persekitaran yang tidak sihat atau mengikut-ikut sahaja secara membuta tuli tanpa mengetahui, mengkaji sejarah, fakta atau makna di sebalik sambutan atau perayaan yang mereka raikan itu. 

 

Ironinya, ada juga umat Islam turut pergi ke Batu Cave semata-mata ingin melihat dengan dekat sambutan ritual Thaipusam, pesta Ponggal tanpa memikirkan kesan daripada perlakuan mereka yang sememangnya jahil di dalam agama. 

 

Jelas sekali, terdapat golongan warga Islam yang tidak sensitif dengan sengaja mencetuskan kontroversi, mencabar akidah dan syariat yang bertentangan dengan amalan dan prinsip yang digariskan di dalam al-Quran dan al-Sunnah. 

 

Ibrahnya, amalan ini sememangnya bertentangan dan menjatuhkan imej Islam serta boleh memesongkan pegangan akidah, syariah dan agama seseorang.

 

“Kitab ini (al-Qur’an) yang tiada keraguan padanya, ia juga menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa”

Surah al-Baqarah: 2

 

 

Gejala  tidak sihat perlu dibendung bagi menjaga akidah dan syariat Islam

Walaupun ia mungkin hanya untuk menyambut suka-suka sahaja tetapi perlu di ingat bahawa matlamat tidak menghalalkan cara kerana dikhuatiri amalan menyambut sambutan yang bukan di dalam agama Islam jika tidak dibendung boleh menjejaskan fahaman Tauhid, aqidah dan syariat.

 

Jangan kita berlumba-lumba mengikut cara atau terjerat dengan sama-sama menyambut sambutan kerana ia boleh memesongkan akidah kita sebagai orang Islam.


 

parafrasa

 


Ibu bapa dan pendidik seharusnya cakna, memantau perlakuan anak-anak dan muda-mudi dengan  menitikberatkan ajaran dan pegangan agama dalam kalangan generasi muda dan umat Islam agar tidak terpesong dan terpengaruh dengan cara dan amalan membudayakan serta meraikan sambutan yang bercanggah dengan agama. 

 

Pemimpin, pihak berkuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa tempatan seharusnya lebih tegas di dalam mencegah kemungkaran dengan mengambil kaedah ‘al-Amru bil makruf wan Nahyu ‘anil mungkar’ dan bukannya berpeluk tubuh.

 

Ia adalah tanggungjawab setiap umat Islam membanteras gejala tidak sihat dalam kalangan generasi muda dan warga Islam yang menyambut dan menormalisasi akan sambutan budaya yang sememangnya menyeleweng dengan akidah dan syariat Islam.

 

Penguatkuasaan undang-undang seperti penangkapan dan denda perlu dikenakan bagi orang Islam yang terang-terang menyambut perayaan yang bercanggah dengan kepercayaan agama Islam kerana ia boleh menjejaskan akidah dan fahaman Islam.

 

Kuliah agama, seminar, wawancara, diskusi agama tentang memperkasakan aqidah dan syariat umat Islam perlu diperluaskan bagi memberi kesedaran dan pemahaman yang jitu tentang isu bahayanya menyambut sambutan yang bukan di dalam agama Islam kepada generasi muda dan warga Islam di Malaysia. 

 

Ini penting bukan sahaja memelihara tauhid, kepercayaan, ketakwaan, keimanan kita kepada ALLAH SWT bahkan juga amalan menjaga aqidah dan syariat agar tidak terpesong sehingga boleh mencetus kepada perbuatan murtad. 

 

Wahai umat Islam, kita sepatutnya lebih mengagungkan perayaan atau sambutan yang diamalkan oleh penganut Islam sejak bertahun lamanya iaitu menyambut tahun baru Islam Awal Muharram, menyambut hari awal Ramadhan, Raya Aidilfitri, Raya Korban, menyambut Nuzul Al-Quran, turunnya kitab suci Al-Quran, menyambut Maulud Nabi dengan memperingati hari keputeraan Nabi Muhammad SAW, hari Israk dan Mikraj, meneladani akhlak nabi Muhammad SAW, mengingati dan menginsafi hari kebesaran Islam bukan membesar-besarkan perayaan atau sambutan yang sememangnya bertentangan dengan akidah, prinsip dan amalan agama Islam. 


 

parafrasa

 


Ideologi liberalisasi atau berfikiran bebas tanpa ada batas, sekatan moral  dan agama dengan membuat apa sahaja mengikut hati tanpa berfikir akan akibatnya tidak boleh diamalkan kerana ia akan menjejaskan kerohanian akidah, cara kehidupan Islam yang benar serta dituntut di dalam al-Quran dan al-Sunnah. 

 

Agama Islam adalah agama Ad-din iaitu manifestasi kepada suatu cara hidup yang diredhai oleh ALLAH SWT.  Muslimin dan muslimat ingatlah dan kembalilah kepada ajaran agama Islam yang benar, syumul dan luhur.

 

“Dan jika mereka mendustakanmu, maka katakanlah: Bagi aku amalanku, dan bagi kamu amalanmu. Kamu tidak bertanggungjawab atas apa yang aku kerjakan dan aku juga tidak bertanggungjawab atas apa yang kamu kerjakan.”

Surah Yunus: 41

 

Tuntasnya, warga Islam perlu bertoleransi, saling memahami, menghormati agama, kepercayaan, adat dan budaya agama lain. 

 

Ini bagi mengelakkan sebarang konflik perbalahan atau ketegangan kaum agar menjamin keamanan dan kehidupan yang harmoni. 

 

Namun perlu ditegaskan, janganlah kita membatasi atau menormalisasi dengan sama-sama menyambut perayaan atau budaya mereka berlebih-lebihan hingga boleh menjejaskan tauhid, akidah dan syariat kita sebagai umat Islam. 

 

Seharusnya kita mengekalkan dan menguatkan fahaman aqidah dan syariat bukan sahaja hidup dengan bertamadun tetapi juga Tauhid diperkasa dan dipelihara iman selaras dengan pegangan kita yang berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah. - DagangNews.com

 

 

Norazlinda Hj Mohammad merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka