Tangguh haji ketika wabak untuk elak kemudaratan | DagangNews Skip to main content

Tangguh haji ketika wabak untuk elak kemudaratan

 


Oleh DATUK DR ANHAR OPIR

 


Umat Islam dari seluruh dunia sememangnya rindu untuk berkunjung ke Baitullah bagi menyempurnakan rukun Islam yang kelima. 

 

Pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak penghujung 2019, sekali lagi telah menghalang bakal-bakal haji dari luar Arab Saudi ke kota suci Mekah dan Madinah.

 

 

DATUK DR ANHAR OPIR
ANHAR OPIR

 

 

Baru-baru ini, kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan penangguhan haji kepada semua warga luar Arab Saudi demi menjaga keselamatan dan kesihatan umat Islam dari seluruh dunia. 

 

Mereka hanya membenarkan 60,000 rakyat dan pemastautin di Arab Saudi melaksanakan ibadat haji dengan syarat pematuhan SOP yang ketat. 

 

Bakal haji dari Malaysia turut terkesan dengan keputusan tersebut.

 

Sebagai seorang muslim kita sememangnya yakin ada hikmah di sebalik penangguhan haji buat kali kedua selepas ditangguhkan pada tahun lalu. 

 

Penularan wabak ini telah meragut jutaan nyawa di seluruh dunia dan memberi kesan bukan sahaja di sektor ekonomi dan sosial, malah pelaksanaan ibadat seperti solat berjemaah di masjid dan surau.

 

Keputusan yang wajar

 

Sekiranya difikir secara mendalam, penangguhan ibadat haji ini adalah satu keputusan yang wajar kerana wabak Covid-19 boleh mengancam nyawa jutaan jemaah haji dari seluruh dunia disebabkan kesesakan semasa menunaikan haji.

 

Kewajipan dan pelaksanaaan ibadat haji sepertimana yang kita maklum bergantung pada syarat Istito’ah (kemampuan) yang meliputi aspek kesihatan, kewangan, keselamatan dan kebenaran atau kuota yang diperuntukkan kepada setiap negara.

 

Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 97 bermaksud: “Dan Allah mewajibkan ke atas manusia untuk mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu bagi sesiapa yang mampu untuk sampai kepadanya.”

 

Bagaimanapun, pada hari ini masih ada pertembungan pendapat tentang apa yang perlu diutamakan di antara kemestian melaksanakan Rukun Islam atau mencegah kemudaratan semasa melaksanakan ibadah. 

 

Jika dilihat kepada lima dhoruriyat Maqasid Syariah, menjaga agama (Hifzu al Deen) adalah lebih tinggi atau utama daripada menjaga nyawa (Hifzu al Nafs). 

 

Oleh itu, ada yang berpandangan menunaikan ibadat haji lebih utama daripada mencegah kemudaratan. 

 

 

Ibadah haji

 

 

Namun, kita perlu meneliti dengan lebih mendalam apakah menunaikan ibadat haji termasuk dalam pengertian Hifzu al Deen yang terkandung dalam Maqasid Syariah tersebut.

 

Menjaga nyawa adalah sangat penting selaras dengan firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu dalam bahaya kebinasaan.” (Al-Baqarah: 195). 

 

Islam secara jelas mengutamakan pencegahan keburukan terutama yang melibatkan nyawa manusia. 

 

Pihak pemerintah tidak seharusnya mendedahkan jemaah haji kepada kemudaratan wabak COVID-19 yang akan memberi kesan bukan sahaja kepada kesihatan dan keselamatan para jemaah haji malah kepada ahli keluarga dan mungkin mewujudkan kluster baharu.

 

Redha dan sabar

 

Sehubungan itu, umat Islam perlu redha dan terus bersabar dengan penangguhan ibadat haji pada tahun ini.

 

Bagi warga emas pula, jika ditakdirkan tidak berkesempatan untuk menyempurnakan ibadat haji disebabkan syarat umur yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi, maka Islam menyediakan ruang untuk mereka melaksanakannya secara Badal Haji iaitu menerusi pihak lain sekiranya mereka berkemampuan dari segi kewangan.

 

Bagi bakal haji yang tidak dapat menunaikan haji pada tahun ini, janganlah khuatir kerana niat yang baik untuk mengerjakan ibadah haji tetap akan mendapat ganjaran di sisi Allah.

 

Ini berdasarkan sebuah Hadis Nabi SAW sebagaimana diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda bahawa Allah Azza Wa Jalla berfirman: “Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan (balasan) setiap kebaikan (pahala) dan setiap kejahatan (dosa). Kemudian beliau menjelaskannya: Maka sesiapa berniat melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya (kerana keuzuran), maka Allah S.W.T menulis kebaikan itu disisiNya sebagai satu kebaikan yang sempurna untuknya. Sekiranya dia berniat untuk melakukan kebaikan, lalu dia melakukannya, maka Allah S.W.T menulis kebaikan itu disisi-Nya sebanyak sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus gandaan, sehingga gandaan kebaikan yang banyak untuknya. (Sebaliknya) Jika dia berniat melakukan kejahatan, tetapi dia tidak melakukannya (kerana takut kepada Allah SWT), maka Allah SWT menulis
disisi-Nya satu kebaikan yang sempurna baginya. Sekiranya dia berniat melakukan kejahatan, lalu dia melakukannya, maka Allah SWT akan menulis kejahatan itu baginya hanya sebagai satu kejahatan.” [HR Bukhari 6491, Muslim 131].

 

Halangan yang menyebabkan jemaah haji luar dari Arab Saudi tidak boleh menunaikan haji pada tahun ini dan tahun lalu bukanlah sesuatu yang dapat dielakkan dan diminta oleh sesiapa. 

 

Akan tetapi wabak COVID-19 yang mengancam nyawa menyebabkan ibadah haji pada tahun ini tidak dapat dikerjakan khususnya bagi mereka yang berada di luar negara Arab Saudi dan ini bersesuaian dengan anjuran Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Apabila kamu mendengar bahawa taun (wabak) menimpa sesuatu tempat maka janganlah kamu masuk ke dalam kawasan tersebut. Dan apabila kamu berada dalam kawasan yang terdapat padanya taun (wabak) maka janganlah kamu keluar darinya” (HR Bukhari, 5728). - DagangNews.com

 

Datuk Dr Anhar Opir ialah Timbalan Mufti Selangor, merangkap Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji Lembaga Tabung Haji-Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)