KUALA LUMPUR 31 Julai - Anak syarikat TDM Bhd, TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) menetapkan sasaran untuk mempunyai 100% pekerja am tempatan dan 70% penuai tempatan di ladang kelapa sawitnya menjelang 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif TDMP, Hamdan Ibrahim berkata, komitmen ini menunjukkan pelaburan kumpulan dalam memperkasakan masyarakat tempatan dan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.
"Melalui usaha bersama, kami menyasarkan untuk meningkatkan keadaan sosio-ekonomi rakyat Terengganu.
"Kami yakin usaha ini amat penting bukan sahaja untuk kemakmuran perniagaan kami tetapi juga untuk kesejahteraan keseluruhan masyarakat setempat, kedua-duanya dalam jangka pendek dan panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengarah Eksekutif TDM Bhd, Najman Kamaruddin berkata bagi mencapai matlamat itu, TDMP merancang untuk meningkatkan penggunaan mekanisasi dan teknologi pertanian jitu di ladang bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan serta mengurangkan kebergantungan kepada buruh manusia.
“Penggunaan mekanisasi juga diharap dapat menarik pekerja tempatan menyertai industri perladangan.
“Program latihan berterusan juga akan diberikan kepada pekerja tempatan untuk memperkasakan mereka dengan kemahiran dan teknik moden menggunakan peralatan terkini,” katanya.
Menurut kenyataan itu, TDM, sebagai syarikat berkaitan kerajaan, akan meneroka peluang untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi mempromosikan peluang pekerjaan di ladang-ladang di samping meningkatkan kesedaran masyarakat tentang faedah menjadi sebahagian daripada kakitangan ladang TDMP.
"Organisasi itu juga komited untuk menawarkan insentif menarik untuk penuai tempatan, termasuk gaji berasaskan prestasi sebagai pengiktirafan atas kerja keras dan pengabdian penuai," tambahnya. - DagangNews.com