Tekun lantik ahli jawatankuasa syariah | DagangNews Skip to main content

Tekun lantik ahli jawatankuasa syariah

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (depan, tengah) bersama ahli jawatankuasa syariah Tekun yang menerima surat lantikan di Putrajaya.

 

 


KUALA LUMPUR 3 Feb. - Tekun Nasional telah melantik 4 Ahli Jawatankuasa Syariah bagi tempoh 15 Februari 2021 hingga 14 Februari 2023. 

 

Surat lantikan berkenaan telah diserahkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar kepada ahli jawatankuasa yang dilantik di Putrajaya.

 

Tekun menawarkan pembiayaan patuh syariah dengan menggunakan konsep Qardul Hasan sejak 2006. 

 

Pada 2016, Tekun memperkenalkan konsep patuh syariah yang baru iaitu Tawarruq. Sebagai permulaan, konsep Tawarruq ini diguna pakai dalam Skim Pembiayaan Tekun Niaga.

 

Tekun telah mendapat pengiktirafan patuh syariah daripada juru perunding pembiayaan patuh syariah iaitu Syariah Centre of Excellence Bank Islam Malaysia Berhad pada 2017. 

 

Sehingga kini, semua produk pembiayaan Tekun yang ditawarkan kepada para usahawan adalah patuh syariah sepenuhnya.

 

Wan Junaidi berkata, pelantikan ahli jawatankuasa syariah ini bagi memantapkan lagi tadbir urus syariah Tekun yang mana ahli-ahli baharu yang dilantik ini terdiri daripada kalangan tokoh berintegriti, komited dan dihormati di pelbagai peringkat.

 

“Saya percaya, mereka ini berupaya untuk memperkasakan kewibawaan Jawatankuasa Syariah Tekun Nasional dan seterusnya akan memberi lebih keyakinan kepada usahawan yang komited untuk melaksanakan perniagaan sejajar dengan prinsip-prinsip syariah. 

 

"Selain itu, penawaran produk pembiayaan yang patuh syariah ini turut menguntungkan usahawan kerana ia lebih telus dengan tiadanya caj-caj tersembunyi," katanya. 

 

Barisan Jawatankuasa Syariah Tekun yang baru ini terdiri daripada Mohd. Nazri Chik yang merupakan Pengurus Besar Hubungan Strategik, Bank Islam Malaysia Berhad merangkap Ketua Pegawai Syariah Kumpulan, BIMB Holdings Berhad yang telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Syariah Tekun Nasional. 

 

Ahli-ahli yang lain adalah Prof. Madya Dr. Azman Mohd Noor di IIUM Institute of Islamic Banking & Finance (IiiBF), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Dr.Kamaruzaman Noordin, Professor Madya di Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) dan Syed Abdullah Syed Nordin, Pegawai Tadbir Agama, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). - DagangNews.com