620,000 individu dalam 10 sektor utama berisiko kehilangan pekerjaan jika tidak tingkatkan kemahiran - TalentCorp | DagangNews Skip to main content

620,000 individu dalam 10 sektor utama berisiko kehilangan pekerjaan jika tidak tingkatkan kemahiran - TalentCorp

Dianggarkan 620,000 individu dalam 10 sektor utama berisiko hilang pekerjaan jika tidak meningkatkan kemahiran.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 19 Nov - Dianggarkan 620,000 individu dalam 10 sektor utama ekonomi Malaysia berisiko kehilangan pekerjaan jika mereka tidak meningkatkan kemahiran atau beralih ke peranan yang berkaitan, berdasarkan satu kajian mengenai kesan kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan ekonomi hijau terhadap tenaga kerja Malaysia.

 

Penemuan itu dibuat dalam Fasa 1 kajian yang dijalankan oleh Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp), yang memfokuskan kepada 10 sektor utama iaitu angkasa lepas, kimia, elektrik dan elektronik (E&E), tenaga dan kuasa, pembuatan dan perkhidmatan makanan, perkhidmatan perniagaan global, ICT, peranti perubatan, pembuatan farmaseutikal, serta perdagangan borong dan runcit.

 

Sektor-sektor tersebut secara kolektif menyumbang 60% atau RM933 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2023.

 

Kajian itu dilancarkan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong pada Isnin, bertujuan untuk meneliti bagaimana kekuatan transformasi membentuk industri, sambil mengenal pasti peranan pekerjaan baharu dan kemahiran yang penting untuk tenaga kerja masa depan Malaysia.

 

Fasa 1 kajian, yang dijalankan dari April hingga September 2024 mendapati, sekitar 18% atau 620,000 pekerjaan daripada 3.5 juta pekerja dalam perniagaan teras sektor-sektor itu dijangka terjejas dengan ketara dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, manakala anggaran 1.8 juta atau 53% adalah pekerja yang terjejas sederhana.

 

Pekerjaan yang terjejas dengan ketara bermaksud berisiko kehilangan pekerjaan, manakala terjejas sederhana bermaksud peranan masih relevan, tetapi pekerja perlu meningkatkan kemahiran atau memberikan lebih daripada apa yang biasanya dijangkakan, menurut laporan mengenai penemuan kajian tersebut. 

 

Pekerjaan yang terjejas rendah adalah mereka yang memerlukan peningkatan diri secara berterusan untuk kekal relevan.

 

Sebanyak 60 pekerjaan baharu yang akan menjadi semakin penting juga dikenal pasti, melibatkan 70% dalam bidang AI dan digital, 20% dalam ekonomi hijau, dan 10% dalam teknologi baharu.

 

Semua sektor mengakui keperluan mendesak untuk beralih kepada trend AI, digitalisasi dan ekonomi hijau untuk kekal kompetitif dan lestari, dan majikan semakin mencari bakat dengan kemahiran khusus dalam bidang tersebut.

 

Chee Keong berkata, kajian itu menyoroti peluang besar bagi pekerja Malaysia apabila AI, digitalisasi dan ekonomi hijau mentransformasi industri. 

 

"Dengan mengenal pasti kemahiran kritikal dan peranan baharu, kami memberdayakan rakyat Malaysia untuk menyesuaikan diri di peringkat global, mendorong pertumbuhan dan ketahanan yang mampan dalam tenaga kerja kami," katanya.

 

TalentCorp merancang untuk menjalankan Fasa 2 kajian, yang akan melibatkan 12 sektor tambahan, tahun depan. - DagangNews.com