KUALA LUMPUR 8 Nov - Affin Group pada Jumaat mengumumkan kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk melancarkan Kad Kredit/-i Affin UiTM, satu kolaborasi penting yang menawarkan manfaat eksklusif kepada komuniti UiTM yang terdiri daripada alumni, graduan dan kakitangan.
Kad Kredit/-i Affin UiTM direka untuk memenuhi pelbagai peringkat pendapatan, menawarkan pengalaman perbankan yang unik dan menguntungkan yang disesuaikan khas untuk komuniti UiTM.
Pemegang kad akan menikmati pelbagai keistimewaan eksklusif, termasuk tiada bayaran tahunan, lima kali Mata Ganjaran Affin untuk pembelian runcit pada hujung minggu, sekali Mata Ganjaran Affin untuk pembelian runcit pada hari bekerja, Pelan Pembayaran Tetap 0% (bayaran ansuran) sehingga 24 bulan dan akses percuma sebanyak empat kali ke Plaza Premium Lounge di Malaysia dan negara terpilih di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad, Dato Syed Mashafuddin Syed Badarudin berkata, pihaknya teruja bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi terbesar di Malaysia itu untuk melancarkan kad kredit yang benar-benar memenuhi semua lapisan kehidupan komuniti UiTM.
Katanya, inisiatif tersebut bukan sahaja menandakan pencapaian penting bagi Affin, tetapi juga mengukuhkan komitmen untuk menyediakan penyelesaian perbankan yang inovatif dan mesra pelanggan bagi semua peringkat pendapatan.
"Kami menggalakkan alumni, graduan dan kakitangan UiTM untuk merebut peluang ini dan menikmati ganjaran eksklusif yang ditawarkan oleh kad ini.
"Inisiatif ini selaras dengan pelan strategik Affin Axelerate 2028 (AX28), yang memfokuskan kepada Perkhidmatan Pelanggan yang Tiada Tandingan, Kepimpinan Digital dan Perbankan Bertanggungjawab dengan Impak," katanya dalam satu kenyataan.
Seiring dengan pelancaran kad kredit itu, Affin turut memperkenalkan kempen Apply & Win Amazing Prizes, yang berlangsung dari 7 November 2024 hingga 30 April 2025.
Pemegang kad baharu yang membelanjakan sekurang-kurangnya RM100 dalam tempoh 60 hari selepas kelulusan kad, berpeluang memenangi hadiah menarik termasuk satu hadiah utama Vespa Primavera 150, tiga hadiah kedua Samsung Galaxy Tab S9 dan lima unit hadiah ketiga jam tangan Garmin Forerunner 255.
Kempen itu menawarkan alumni, graduan dan kakitangan UiTM peluang sempurna untuk menikmati manfaat eksklusif sambil mendapat ganjaran atas penyertaan mereka. - DagangNews.com