Kemenangan Donald Trump beri kesan kepada pengeksport Malaysia, namun neutral terhadap pasaran domestik - CGS International | DagangNews Skip to main content

Kemenangan Donald Trump beri kesan kepada pengeksport Malaysia, namun neutral terhadap pasaran domestik - CGS International

Gambar: AFP
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 8 Nov - Kemenangan Donald Trump dalam Pilihan Raya Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini dijangka memberi kesan terhadap pengeksport Malaysia, namun kesannya dilihat agak neutral terhadap pertumbuhan domestik, ringgit dan pasaran saham, kata CGS International.

 

"Oleh itu, kami melihat konsolidasi pasaran terkini sebagai peluang beli yang baik, dan kami berpendapat pasaran telah mengabaikan asas pertumbuhan makro yang positif serta agenda pembaharuan yang berterusan yang jelas terlihat daripada Belanjawan 2025 yang baru diumumkan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini..

 

CGS menambah, impak terbesar mungkin dirasai oleh pengeksport barangan keluaran kilang, terutamanya dalam sektor teknologi dan sarung tangan.

 

"Namun begitu, kami percaya impak terhadap sektor sarung tangan boleh diuruskan (walaupun tarif 20% dikenakan), memandangkan tarif ke atas import sarung tangan dari China dijangka meningkat kepada 50% pada Januari 2025, dan 100% pada Januari 2026," jelas CGS.

 

Firma itu juga berkata, pengeluar sarung tangan Malaysia masih boleh bersaing berikutan kos upah dan kos operasi yang lebih rendah berbanding di AS.

 

"Kehilangan bahagian pasaran bagi pengeluar sarung tangan Malaysia akan berlaku sekiranya pengeluar AS mampu bersaing dengan perlindungan tarif 20%," tambahnya.

 

Namun, sektor teknologi mungkin berdepan cabaran yang lebih besar kerana automasi dan inovasi AS boleh mengeksploitasi manfaat tarif 20%.

 

Eksport komoditi dijangka tidak terjejas dengan tarif yang besar, walaupun pengeluaran bahan api fosil AS yang lebih tinggi boleh memberi tekanan terhadap harga minyak.

 

Sebaliknya, tarif yang lebih tinggi ke atas import dari China berkemungkinan akan meningkatkan pelaburan China+1 di Malaysia, dengan syarikat multinasional Barat dijangka terus melabur untuk jangka panjang.

 

Satu lagi faktor utama adalah trajektori dolar AS.

 

Walaupun dasar Trump boleh memberi inflasi kepada ekonomi dan mempengaruhi defisit perdagangan yang boleh menyebabkan kenaikan hasil bon AS, kadar faedah persekutuan semasa mungkin tidak mampan.

 

"Kami berpendapat kadar faedah persekutuan sepatutnya bergerak lebih rendah (ke arah 3%) dalam tempoh 12 hingga 15 bulan akan datang, yang akan menurunkan lengkung hasil secara keseluruhan, walaupun berkemungkinan berlaku sedikit pemendekan di hujung jangka panjang. 

 

"Walaupun terdapat reaksi pantas awal, kami berpendapat indeks dolar AS akan merosot dalam jangka sederhana (jika pengeluaran AS mahu bersaing), memberi ruang untuk pengukuhan ringgit," tambah CGS. - DagangNews.com