AirAsia rancang wujudkan hab kos rendah seperti Dubai di Bangkok, Kuala Lumpur | DagangNews Skip to main content

AirAsia rancang wujudkan hab kos rendah seperti Dubai di Bangkok, Kuala Lumpur

Gambar: Naim Aziz/DagangNews

KUALA LUMPUR 22 Nov - Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia berharap dapat mencontohi kejayaan Dubai dalam menghubungkan dunia tetapi dalam format kos rendah di Bangkok, Thailand dan Kuala Lumpur bagi terus mengembangkan perniagaannya.

 

Pengasasnya, Tan Sri Tony Fernandes membayangkan untuk menghubungkan penumpang melalui lapangan terbang Bangkok dan Kuala Lumpur dalam meneruskan perjalanan ke pelbagai destinasi AirAsia dan perkhidmatan penerbangan jarak jauh AirAsia X.

 

Beliau berkata, tawaran terbaik AirAsia ialah penerbangan yang mengambil masa antara satu setengah jam dan enam jam.

 

"Apa yang saya cuba lakukan ialah menjadi yang pertama di dunia, iaitu mewujudkan hab di Kuala Lumpur dan Bangkok seperti Dubai dan Qatar.

 

"Bangkok selayakanya menjadi sebuah hab, Singapura jelas mempunyainya, tetapi lebih kepada adalah hab premium. Tiada siapa yang benar-benar menyediakan hab kos rendah," katanya dalam satu temu bual di ibu negara Thailand, lapor Bloomberg.

 

AirAsia sebelum ini terjejas teruk oleh penularan wabak COVID-19 dan terpaksa menstruktur semula hutang, memberhentikan pekerja dan memulangkan beberapa pesawat kepada pemberi pajak.

 

Syarikat induk AirAsia, Capital A Bhd akan bergabung dengan AirAsia X Bhd dan mengurangkan modal sahamnya sebanyak AS$1.4 bilion untuk keluar daripada klasifikasi kesulitan kewangan bursa saham Malaysia.

 

Fernandes meramalkan pemulihan penuh tahun depan dan menjangkakan 2026 menjadi "tahun emas" industri itu. Cabaran geopolitik telah membantu AirAsia, apabila lebih ramai pelancong memilih untuk terbang dalam Asia berbanding ke Amerika Syarikat (AS) atau Eropah.

 

"Kami berdepan cabaran selama lima tahun tetapi berjaya kembali dan ingin berkembang," katanya. Syarikat itu berkata, mereka mengambil semula kesemua 2,600 pekerja yang dipecat semasa penularan wabak itu, dan kini menggaji seramai 23,000 orang.

 

Seiring dengan membawa trafik penghubung melalui hab yang dirancang di Bangkok dan Kuala Lumpur, Fernandes juga menjangka untuk berkembang dengan menambah lebih banyak trafik ke bandar-bandar sekunder, sebagai contoh penerbangan dari Chiang Mai ke China.

 

Terdahulu, AirAsia X memulakan penerokaan sulungnya ke benua Afrika - kerana kumpulan itu melihat potensi pertumbuhan di luar Asia. - DagangNews.com