Allianz Malaysia, Universiti Malaya bekerjasama jalankan penyelidikan tadbir urus menerusi penubuhan ACFG | DagangNews Skip to main content

Allianz Malaysia, Universiti Malaya bekerjasama jalankan penyelidikan tadbir urus menerusi penubuhan ACFG

Ketua Pegawai Eksekutif Serantau Allianz Asia Pasifik, Anusha Thavarajah, menandatangani plak bersama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Universiti Malaya (UM) Profesor Dr. Yatimah Alias, pada majlis pelancaran Allianz Centre for Governance (ACFG) di Universiti Malaya.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 10 Dis - Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) dan Universiti Malaya (UM) melancarkan Allianz Centre for Governance (ACFG), sebuah inisiatif strategik untuk menjalankan penyelidikan mengenai tadbir urus dan bidang berkaitan.

 

Terletak di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi di UM, pusat itu akan berfungsi sebagai platform utama untuk penyelidikan akademik dan penglibatan awam dengan tumpuan untuk mengukuhkan integriti perniagaan dan menyokong pembaharuan dalam amalan tadbir urus.

 

Pelancaran pusat tersebut bertepatan dengan Hari Anti Rasuah Antarabangsa pada 9 Disember dan berlangsung di Perpustakaan Memorial Za'ba di UM.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Serantau Allianz Asia Pasifik, Anusha Thavarajah berkata, sebagai sebuah organisasi global, Allianz harus memperlihatkan pimpinan melalui teladan termasuk bekerjasama dengan kerajaan, perniagaan, masyarakat dan media untuk mencipta perubahan yang bermakna.

 

allianz

 

Malah katanya, sebelum penubuhan ACFG, Allianz Malaysia telah mengambil beberapa langkah dalam organisasi untuk menyokong tadbir urus yang baik dan membanteras amalan tidak beretika dalam industri termasuk melancarkan Allianz Road Rangers pada 2017.

 

"Inisiatif itu dapat memastikan proses tuntutan yang adil dan telus untuk pelanggan insurans motor, melindungi mereka daripada amalan eksploitasi dan mengurangkan risiko penipuan insurans motor," katanya dalam satu kenyataan.

 

Selain itu, Allianz Malaysia pada 2020 menjalankan proses tender terbuka menerusi Rombakan Panel Bengkel untuk memilih pembaik kereta yang bertauliah, meningkatkan ketelusan dan piawaian perkhidmatan dalam proses tuntutan motor.

 

Kerjasama dengan RasuahBusters, sebuah gerakan akar umbi yang berdedikasi untuk memerangi rasuah di Malaysia, seterusnya menunjukkan komitmen kumpulan terhadap integriti dan amalan perniagaan yang beretika.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang berkata, dengan pelancaran ACFG, pihaknya mengambil langkah berani memerangi rasuah berteraskan penyelidikan, data dan analisis pakar.

 

ACFG merupakan kerjasama tiga tahun dengan UM dan menandakan sebuah peristiwa penting dalam komitmen berterusan Allianz Malaysia terhadap amalan perniagaan beretika dan pematuhan kepada standard tertinggi integriti korporat. - DagangNews.com