PETALING JAYA 1 Nov - AME Industrial Park Sdn Bhd (AMEIP), anak syarikat sepenuhnya AME Elite Consortium Berhad (AME Elite), dan KLK Land Sdn Bhd (KLKL), anak syarikat sepenuhnya Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK), mengumumkan usahasama (JV) untuk membangunkan taman industri baharu di Ijok, Selangor.
Kerjasama itu menandakan usaha pertama KLKL dalam pembangunan harta industri dan mewakili pengembangan strategik bagi AME Elite, penyedia penyelesaian ruang industri mampan terkemuka.
Kerjasama strategik tersebut menggabungkan dua pemimpin industri untuk mencipta taman industri yang diinspirasikan oleh konsep hijau, memenuhi pelbagai keperluan ruang industri bagi perniagaan.
AME Elite terkenal dengan fokusnya terhadap kelestarian dan inovasi dalam pembangunan dan pengurusan taman industri dengan taman industri AME Elite di Johor Berjaya menarik syarikat multinasional dan mendorong pertumbuhan ekonomi.
Pengarah Eksekutif dan CEO Kumpulan, AME Elite Consortium Berhad, Dylan Tan Teck Eng berkata, kerjasama strategik antara AME Elite dan KLK Land menandakan langkah penting dalam pengembangan strategik syarikat di seluruh Malaysia.
"Selangor adalah kawasan pertumbuhan utama untuk pembangunan industri dan projek ini akan memanfaatkan kekuatan teras kami dalam mencipta taman industri mampan dan terintegrasi yang menarik pelaburan bernilai tinggi," katanya dalam satu kenyataan.
Pengerusi Eksekutif KLK, Tan Sri Lee Oi Hian berkata, kerjasama tersebut merupakan langkah penting dalam strategi pengembangan KLK Land, membolehkannya memanfaatkan nilai portfolio pembangunan harta di Semenanjung Malaysia.
"Bekerjasama dengan AME Elite menawarkan kami peluang unik untuk memanfaatkan kepakaran mereka yang sudah mantap dalam pembangunan harta industri, mengukuhkan inisiatif pertumbuhan dan membolehkan kami mencatat kejayaan berterusan dalam usaha baharu ini," jelasnya.
Usahasama tersebut akan beroperasi melalui Oasis Innovation Sdn Bhd (OI), di mana AMEIP memiliki 60% dan KLKL memiliki 40%, manakala OI akan bertanggungjawab menyelia pembangunan dan operasi taman industri tersebut.
OI telah menandatangani Perjanjian Jual Beli dengan KLK untuk memperoleh tanah pegangan bebas di Mukim Ijok, daerah Kuala Selangor dengan kawasan pembangunan bersih kira-kira 61.18 hektar bernilai RM230.5 juta.
Perolehan tanah terbabit tertakluk kepada pemenuhan syarat, termasuk kelulusan pemegang saham AME Elite dan kelulusan regulatori.
Pembangunan yang dicadangkan akan merangkumi pelbagai kemudahan industri yang memenuhi keperluan perniagaan yang berbeza, termasuk penginapan pekerja dan komponen komersial bagi mewujudkan ekosistem industri yang lestari dan dinamik.
Pembangunan itu akan menyediakan ekosistem yang kukuh untuk perniagaan yang ingin berkembang, menawarkan penyelesaian ruang yang fleksibel dan pengaturan yang boleh disesuaikan untuk pelbagai keperluan operasi.
Taman industri tersebut direka untuk memenuhi permintaan yang meningkat daripada aliran pelaburan langsung asing yang kukuh, serta menarik syarikat domestik dan multinasional terkemuka dari industri bernilai tambah tinggi.
OI juga telah menandatangani Perjanjian Pengurusan Projek dengan AME Development Sdn Bhd (AME Development), sebuah anak syarikat AMEIP dan anak syarikat sepenuhnya AME Elite, untuk menguruskan projek berkenaan. - DagangNews.com