KUALA LUMPUR 11 Nov - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) dan menaikkan harga sasaran (TP) pada 86 sen sesaham daripada 64 sen berikutan peningkatan kadar penghunian pada aset semasanya.
Firma penyelidikan itu menjangkakan hasil pengagihan FY25F Hektar REIT meningkat kepada 9.0% daripada 6.5% pada FY24F.
Katanya, hasil aset sedia Hektar REIT akan bertambah baik didorong pembayaran sewa daripada penyewa baharu pusat beli-belah sedia ada.
"Selain itu, kami juga meramalkan pembelian Kolej Yayasan Saad pada Julai 2024 juga akan meningkatkan hasil Hektar REIT.
"Pemerolehan Kolej Yayasan Saad adalah aset yang dijamin di bawah perjanjian pajakan bersih empat kali ganda selama 30 tahun.
"Dengan peningkatan sewa sebanyak 2.5% setahun, aset ini diangka untuk menjana hasil 8% sepanjang tempoh pajakan.
"Kepelbagaian dalam aset Pendidikan menyediakan kestabilan dalam pendapatan sewa dalam tempoh pajakan yang lebih lama berbanding pusat beli-belah," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
AmInvest berkata, kadar penghunian keseluruhan aset Hektar REIT itu telah stabil pada 87.2% pada 1QFY24 dan 2QFY24.
“Melangkah ke hadapan, penyewa baharu Subang Parade, Mahkota Parade, Central Square dan Segamat Central yang akan membuka perniagaannya pada 3QFY24 dan 4QFY24 bakal meningkatkan purata kadar penghunian keseluruhan pusat membeli-belah Hektar REIT kepada 92% menjelang akhir FY24," katanya.- DagangNews.com