Beverly Group bekerjasama dengan dua syarikat lain perkenal sistem parkir automatik di Milla Residence | DagangNews Skip to main content

Beverly Group bekerjasama dengan dua syarikat lain perkenal sistem parkir automatik di Milla Residence

Penduduk dan pelawat hanya perlu menunggu di pintu masuk di aras bawah untuk pengambilan kenderaan.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 15 Nov - Beverly Group dan Parktech Solutions pada Khamis memperkenalkan Sistem Tempat Letak Kereta Automatik (ACPS) canggih yang dibangunkan syarikat Samjung Tech dari Korea Selatan di Milla Residence, Quartz Wangsa Maju.

 

Bakal menjadi satu daripada pemasangan ACPS terbesar di ASEAN, sistem pintar itu akan memiliki 2,358 ruang letak kereta dan 21 lif kereta, sekali gus meningkatkan kemudahan dan kemampanan untuk penduduk Milla Residence.

 

Perkongsian strategik tersebut dirasmikan pada majlis menandatangani di Galeri Jualan Milla Residence oleh Ketua Pegawai Eksekutif Beverly Group, Derick Lim; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Samjung Tech Co Ltd, Choi Jong Wan dan Pengarah Urusan Parktech Solutions Sdn Bhd, Yow Kai Yong diiringi oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Bin Nik Ahmad dan Pengarah Urusan Perbankan Komersial Maybank, Jason Wong sebagai saksi.

 

Sebagai sistem pertama seumpamanya di rantau ini, ACPS direka untuk merevolusikan pengalaman tempat letak kereta urban dengan memperkemas operasi tempat letak kereta dan mengurangkan pelepasan karbon, sejajar dengan matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan Indeks Bangunan Hijau (GBI) Malaysia.

 

milla
Sistem Tempat Letak Kereta Automatik ini menyediakan 21 lif kereta, sekali gus menjimatkan masa penduduk untuk meletak kereta.

 

Dengan mengurangkan masa dan perbelanjaan bahan api untuk pencarian tempat letak kereta tradisional, sistem itu menawarkan penyelesaian mesra alam, meminimumkan pelepasan terbiar sehingga 30 peratus dan mengurangkan penggunaan tanah melalui reka bentuk vertikal.

 

Direka untuk keselesaan pengguna, teknologi ACPS membolehkan penduduk dan pelawat hanya meletak kenderaan di pintu masuk yang ditetapkan di aras bawah, mematikan enjin dan berjalan meninggalkan sistem automatik untuk mengendalikan penyimpanan dan pengambilan kenderaan.

 

Untuk menggalakkan kehidupan mesra alam, Beverly Group akan bekerjasama dengan Maybank dalam Pembiayaan Rumah Hijau untuk Milla Residence.

 

Pilihan pembiayaan itu meliputi sehingga 95 peratus daripada harga pembelian rumah, dengan tambahan lima peratus yang diperuntukkan untuk kos seperti insurans kredit, takaful, yuran guaman, penilaian dan duti setem.

 

Lim berkata, pihaknya bukan sekadar menambah nilai, tetapi mahu mentakrifkan semula makna kehidupan lestari yang boleh didapati menerusi kerjasama dengan Samjung Tech, yang menunjukkan bagaimana teknologi canggih boleh menyokong kehidupan yang lebih hijau, meningkatkan kemudahan sambil menyumbang secara aktif kepada matlamat alam sekitar.

 

milla

 

"Milla Residence menyokong inisiatif EkoSetiawangsa oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang bertujuan untuk mengubah Setiawangsa menjadi 'urban eco-district' yang memupuk gaya hidup mampan. 

 

"Menerusi ACPS dan ciri mampan lain, Beverly Group komited terhadap pembangunan bandar mesra alam dengan mengurangkan karbon dengan penyelesaian tempat letak kereta," katanya dalam satu kenyataan.

 

Jong Wan berkata, peranan syarikatnya bukan saja menyediakan teknologi canggih, tetapi memastikan kejayaannya dari hari pertama hingga ke masa depan.

 

"Sistem kami untuk Milla Residence disesuaikan untuk mengimbangi kemodenan dengan kebolehpercayaan, dan kami berdedikasi untuk setiap langkah proses. 

 

"Kami menggandakan ujian untuk memastikan operasi awal yang sempurna bersama jurutera. Pasukan Kepuasan Pelanggan kami yang berdedikasi di Malaysia akan berada di sana setiap bulan untuk menjalankan pemeriksaan proaktif dan memastikan segala-galanya berjalan lancar, memberikan penduduk ketenangan fikiran sepenuhnya," ujarnya. - DagangNews.com