KUALA LUMPUR 19 Nov - Bank Negara Malaysia (BNM) tidak mempunyai rancangan segera mengeluarkan mata wang digital bank pusat borong (CBDC) tetapi sedang meneroka potensinya dan menjalankan kerja persediaan memahami implikasinya.
CBDC borong digunakan dalam kalangan bank dan institusi kewangan berlesen bagi memudahkan pembayaran antara bank dan transaksi sekuriti.
Bank pusat itu berkata, ia sedang mengkaji teknologi baharu seperti CBDC borong, termasuk keupayaannya untuk meningkatkan pembayaran rentas sempadan, kecekapan sistem pembayaran dan memajukan rangkuman kewangan.
BNM berkata, aset digital telah menyaksikan evolusi ketara, dengan blockchain atau teknologi lejar teragih (DLT) mendapat daya tarikan untuk memanfaatkan ekonominya.
"Sebanyak 94% daripada bank pusat seluruh dunia terlibat dalam penerokaan berkaitan CBDC. Pada masa yang sama, pengawal selia menawarkan lebih penjelasan mengenai transaksi aset digital," katanya semasa bengkel media pembayaran digital di Sasana Kijang, hari ini.
Bagi menerokai CBDC borong, BNM bekerjasama dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi mengekalkan kestabilan dan integriti sistem kewangan Malaysia.
"Tumpuan utama kami adalah pada CBDC borong untuk aplikasi rentas sempadan dan domestik. Kami juga mengambil bahagian dalam projek yang diterajui oleh Hab Inovasi Bank for International Settlements (BIS) bagi melengkapkan usaha penerokaan domestik kami," katanya.
BNM menjelaskan keupayaan dan peranan penting CBDC sebagai salah satu alat bayaran pada masa depan.
"Dari sudut pandangan kawal selia, CBDC menawarkan sokongan lebih kukuh bagi memudahkan pembayaran berbanding aset kripto, yang tertakluk kepada turun naik yang tinggi dan dinamik bekalan-permintaan, menjadikannya kurang sesuai untuk tujuan pembayaran," katanya.- DagangNews.com