Boost, UOB Asset Management tawar pelaburan unit amanah BoostMyMoney di aplikasi e-Dompet | DagangNews Skip to main content

Boost, UOB Asset Management tawar pelaburan unit amanah BoostMyMoney di aplikasi e-Dompet

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 19 Nov - Peneraju teknologi kewangan (fintech) serantau Boost dan UOB Asset Management (Malaysia) (UOBAM (Malaysia))  memperkenalkan BoostMyMoney, pelaburan unit amanah patuh syariah yang tersedia di aplikasi e-Dompet Boost. 

 

Melalui akses kepada pelbagai pilihan dana di bawah pengurusan UOBAM (Malaysia), pengguna kini berpeluang meraih pulangan yang lebih tinggi. 

 

Selain itu, BoostMyMoney juga yang pertama dalam pasaran menawarkan pengalaman di mana mata ganjaran boleh diterima untuk setiap ringgit yang dilaburkan, dan ditebus untuk menerima penjimatan tambahan di seluruh Program Kesetiaan BoostUP. 

 

Kerjasama antara Boost dan UOBAM (Malaysia) berhasrat memudahkan pelaburan untuk pelabur pemula, menawarkan pelaburan fleksibel dan mampu milik melalui aplikasi e-Dompet Boost yang mudah digunakan. 

 

Ia juga menumpukan inisiatif pada masa akan datang dan memperkenalkan produk pelaburan berinovasi di aplikasi eDompet Boost bagi menggalakkan tabiat menyimpan wang dalam kalangan rakyat Malaysia.    

 

Dengan BoostMyMoney, Boost memanfaatkan kepakaran dan pengalaman pengurusan dana UOBAM (Malaysia) untuk menggalakkan rakyat Malaysia yang pintar teknologi, terutamanya golongan muda dan yang tidak cenderung mengambil risiko, untuk menggandakan simpanan mereka. 

 

BoostMyMoney menawarkan pulangan sehingga 3.82% setahun tanpa mengenakan sebarang tempoh berkunci dan dengan jumlah deposit minimum serendah RM1. 

 

Kadar pulangan semasa berpandukan data setakat September 2024, dan kadar pada masa akan datang mungkin berubah-ubah mengikut naik turun bulanan dan keadaan pasaran.  

 

Ketua Pegawai Eksekutif Boost Life, Ungku Liza berkata, pihaknya bertuah kerana dapat menawarkan perkhidmatan kepada segenap lapisan masyarakat dan generasi muda menerima platformnya dengan sepenuh hati. 

 

"Kami memahami bahawa ramai pengguna berdepan dengan halangan pelaburan sama ada disebabkan pengalaman atau sumber yang terhad. Ini mendorong kami memperkenalkan BoostMyMoney untuk menjadikan pelaburan lebih mudah diakses.

 

"Kami membantu pengguna membina asas keselamatan kewangan jangka panjang, mencerminkan pepatah sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Kerjasama kami dengan UOBAM (Malaysia) melambangkan komitmen kami untuk membantu penduduk Malaysia memenuhi aspirasi kewangan mereka," katanya dalam satu kenyataan.

 

Kajian Sentimen Pengguna UOB 2024 (ACSS) menunjukkan peralihan ketara terhadap perbankan mudah alih, di mana 48% pengguna menyatakan bahawa perbankan melalui aplikasi adalah pilihan utama mereka. 

 

Gen Z malah melangkah lebih jauh, di mana 54% pengguna generasi itu menyatakan penggunaan aplikasi sebagai kaedah perbankan yang paling kerap digunakan. 

 

Selain itu, lebih  60% pengguna lebih gemar menerima tawaran khas melalui aplikasi, menunjukkan betapa penggunaan mudah alih semakin berkembang di Malaysia.  

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOBAM Malaysia, Lim Suet Ling pula berkata, beliau teruja untuk bekerjasama dengan Boost dan menggalakkan pembinaan kekayaan dalam kalangan pengguna pintar digital, dengan menjadikan pelaburan lebih mampu milik, fleksibel dan boleh diakses.

 

"Menggabungkan pengalaman meluas UOBAM dalam industri dan teknologi Boost yang terbukti, BoostMyMoney boleh menjadi solusi pelaburan berkesan untuk pengguna Malaysia, terutamanya anak-anak muda yang mempunyai peruntukan terhad dan kurang cenderung mengambil risiko pelaburan dan menjana pulangan yang berpotensi lebih tinggi. 

 

"Pengguna Boost juga boleh memanfaatkan kebolehan kajian serta proses pelaburan serantau kami untuk menyediakan solusi yang diselaraskan dengan pertimbangan syariah," ujarnya.

 

Untuk mengakses ciri itu, pengguna boleh menekan butang BoostMyMoney di laman utama aplikasi eDompet Boost, kemudian melengkapkan proses pengaktifan yang ditetapkan, termasuk pengesahan e-KYC, perjanjian kontrak terperinci, pembukaan profil akaun dan lain-lain.

 

Selepas pengaktifan berjaya, pengguna Boost boleh membuat deposit ke dalam BoostMyMoney menggunakan aplikasi eDompet Boost. 

 

Setelah deposit disahkan, pengguna boleh menjejak sejarah pendapatan dan transaksi di laman BoostMyMoney. 

 

Mereka juga menikmati kemudahan memindahkan simpanan dan pendapatan kepada aplikasi eDompet Boost atau akaun perbankan dalam talian yang disahkan. - DagangNews.com