Bubblebee didenda RM17,500 gagal bayar caruman Perkeso | DagangNews Skip to main content

Bubblebee didenda RM17,500 gagal bayar caruman Perkeso

Gambar/ FB BubblebeeMy
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 Nov - Syarikat Bubblebee Sdn Bhd didenda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret pada Isnin atas tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada 2023.

 

Dua pengarahnya, Shuib atau nama penuh Shahmira Muhamad, 40, dan Koh Choon Guan, 33, yang mewakili syarikat tersebut selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Ameera Mastura Khamis.

 

Mahkamah memerintahkan mereka dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

 

Selain itu, mahkamah membenarkan syarikat berkenaan membuat bayaran ansuran sebanyak enam kali bagi tunggakan caruman kepada Perkeso.

 

Mengikut tiga pertuduhan, syarikat tersebut mengaku bersalah atas tuduhan, sebagai majikan utama kepada seorang lelaki berusia 25 tahun, gagal membayar caruman majikan dan pekerja kepada Perkeso membabitkan Oktober hingga dan Disember 2023 lalu, berjumlah keseluruhan RM97.80.

 

Ia sebagai mana dikehendaki mengikut Seksyen 6 (1) dan (8) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peraturan 32, Peraturan-Peraturan Am Keselamatan Sosial Pekarja 1971.

 

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, Bubblebee mengaku bersalah gagal membayar caruman keseluruhan RM17.40 untuk lelaki sama bagi tempoh tiga bulan di bawah bagi Sesyen 18 (1) Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dan Peraturan 9 (1) Peraturan-Peraturan Sistem Insurans Pekerjaan (Pendaftaran dan Caruman) 2017.

 

Semua perbuatan itu dilakukan di syarikat berkenaan di Taman Industri Alam Perdana, Taman Putra Perdana Puchong pada jam 8.30 pagi setiap tarikh 16 hari bulan untuk November 2023 hingga Januari 2024.

 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 110 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 

Bagi pertuduhan pertama hingga keenam, OKS didenda keseluruhan sebanyak RM15,000 manakala RM2,500 bagi kes ketujuh.

 

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa PERKESO Selangor, Nurul Atikah Che Sarif manakala OKS tidak diwakili peguam. - DagangNews.com