Bursa Malaysia sahkan rancangan penggantian CEO, pertimbangkan calon dalaman dan luaran | DagangNews Skip to main content

Bursa Malaysia sahkan rancangan penggantian CEO, pertimbangkan calon dalaman dan luaran

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 23 Dis - Bursa Malaysia Bhd mengesahkan lembaga pengarahnya kini sedang melaksanakan proses penggantian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berikutan spekulasi mengenai tempoh jawatan Datuk Muhamad Umar Swift.

 

"Bursa Malaysia sedang memilih individu bersesuaian bagi jawatan berkenaan, mengambil kira calon-calon dalaman dan luaran.

 

"Sehubungan itu, lembaga pengarah Bursa Malaysia melalui jawatankuasa pencalonan dan ganjaran, kini sedang menjalankan proses penggantian CEO. Pengumuman rasmi akan dibuat oleh syarikat apabila perkara ini dimuktamadkan," kata pengendali bursa saham itu dalam satu pemfailan kepada Bursa Malaysia.

 

Penjelasan tersebut dibuat susulan laporan yang menyatakan bahawa Muhamad Umar mungkin akan meletak jawatan, dengan Pengarah Urusan Perbankan Borong Kumpulan di RHB Bank Bhd, Datuk Fad’l Mohamed, disebut-sebut sebagai pengganti.

 

Muhamad Umar dilantik sebagai CEO Bursa Malaysia pada 11 Februari 2019 bagi menggantikan Datuk Seri Tajuddin Atan.

 

Beliau memiliki lebih daripada 25 tahun pengalaman dalam bidang perbankan dan perkhidmatan kewangan.

 

Sebelum mengetuai Bursa Malaysia, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan Kumpulan di MAA Group Bhd, di mana beliau juga memegang jawatan CEO Malaysian Assurance Alliance Bhd (kini dikenali sebagai Zurich Insurance Malaysia Bhd).

 

Beliau juga pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Gas Malaysia Bhd serta Ketua Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Perusahaan di Maybank sebelum menyertai MAA Group. - DagangNews.com