KUALA LUMPUR 23 Dis - Cabang hartanah Petroliam Nasional Bhd (Petronas) iaitu KLCC (Holdings) Sdn. Bhd. atau KLCCH hari ini mengumumkan telah mengambil alih Bandar Malaysia seluas 197 hektar untuk harga yang tidak didedahkan.
Pemeteraian perjanjian jual beli dengan Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) dan Bandar Malaysia Land Sdn Bhd telah dilakukan pada 4 Oktober 2024.
Bandar Malaysia meliputi tapak bekas pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Jalan Sungai Besi.
KLCCH dalam satu kenyataan hari ini berkata projek pembangunan berskala besar itu akan dilaksanakan dalam tempoh jangka panjang dengan penekanan kepada daya maju komersial.
Ia akan dibangunkan menjadi hab perniagaan antarabangsa dan bandar yang boleh didiami serta inklusif untuk masyarakat.
KLCCH merupakan pemaju induk kawasan Kuala Lumpur City Center seluas 40 hektar yang menempatkan Menara Berkembar Petronas sepanjang 452 meter.
Ia juga menguruskan Taman KLCC seluas 20 hektar.
ARTIKEL BERKAITAN: Syarikat Singapura batalkan projek taman tema ESCAPE, KLCCP nafi beli tanah Bandar Malaysia
Menurut laporan The Edge memetik sumber, Kementerian Kewangan sedang menjual Bandar Malaysia kepada KLCC Property Holdings Bhd, unit tersenarai Petronas, pada harga kira-kira RM12 bilion.
KLCC Property, awal hari ini, menafikan laporan yang menyatakan ia bukan pihak dalam perjanjian itu.
Pengumuman oleh KLCCH juga dibuat lebih kurang seminggu selepas BMSB menamatkan perjanjian taman temanya dengan Sim Leisure Group Ltd yang tersenarai di Singapura. - DagangNews.com