CapitaLand Malaysia Trust beli Hab Logistik Elmina bernilai RM180 juta | DagangNews Skip to main content

CapitaLand Malaysia Trust beli Hab Logistik Elmina bernilai RM180 juta

Hab Logistik Elmina. Gambar/ CapitaLand Malaysia Trust
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 Dis - CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) mengumumkan pemerolehan Hab Logistik Elmina, sebuah hartanah logistik automatik milik bebas, dengan harga RM180 juta daripada PTT Logistics Hub 1 Sdn. Bhd.

 

Pemerolehan melibatkan anak syarikat milik penuh PTT Synergy Group Bhd (PTT) itu, membabitkan hartanah yang terletak di Taman Perniagaan Elmina, sebuah kawasan perindustrian dan perniagaan di Selangor.

 

Menurut CLMT, pembelian itu sejajar dengan objektif pelaburan syarikat untuk memberikan agihan pendapatan jangka masa panjang dan mampan kepada pemegang unit menerusi pembelian hartanah berkualiti dengan pendapatan berulang yang stabil.

 

"Pengambilalihan ini akan meningkatkan lagi kepelbagaian aset keseluruhan portfolio hartanah syarikat dengan aset tambahan dalam sektor logistik," katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, semalam.

 

Hab Logistik Elmina iaitu sebuah gudang automatik setingkat setinggi 40 meter yang mempunyai sistem penyimpanan dan pengambilan automatik (ASRS) itu dijangka menjana sewa kasar tahunan RM12.3 juta, dengan hasil kasar tahun pertama kira-kira 6.8 peratus.

 

ASRS merupakan sistem kawalan komputer yang menggunakan kren dan robotik untuk proses peletakan dan pengambilan semula barang dengan cekap.

 

Hartanah itu mempunyai 19 ruang pemunggahan dengan kemudahan pelaras dok hidraulik dan mampu mengendalikan 30,000 palet.

 

Hab Logistik Elmina sedang dibina oleh PTT Development Sdn Bhd (PTTD), anak syarikat milik penuh PTT dan akan dimajukan di bawah perintah dan pelan pembangunan diluluskan.

 

Pembinaan hab itu dijangka siap menjelang separuh pertama 2025.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurus CLMT CapitaLand Malaysia REIT Management Sdn Bhd (CMRM), Tan Choon Siang berkata, syarikatnya telah mengumumkan pelaburan hampir RM330 juta dalam aset perindustrian dan logistik sejak perluasan mandat pelaburan CLMT pada 2021.

 

"Kami yakin pengambilalihan ini akan mengukuhkan lagi portfolio CLMT dan meletakkan dalam kedudukan untuk mencatat pertumbuhan berterusan," katanya.

 

Sementara itu, PTT berkata, penjualan itu akan membolehkan kumpulan memanfaatkan nilai pelaburannya dalam Elmina Property yang dijangka mencatat pulangan proforma bersih kira-kira RM18.47 juta.

 

"Ini dijangka meningkatkan lagi kedudukan kewangan kumpulan," katanya. - DagangNews.com