Cropmate lancar IPO di Pasaran ACE, sasar kumpul RM52 juta bagi sokong perkembangan operasi | DagangNews Skip to main content

Cropmate lancar IPO di Pasaran ACE, sasar kumpul RM52 juta bagi sokong perkembangan operasi

(Dari kiri) Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Investment Bank Bhd, Lee Jim Leng dan Pengarah Urusan Cropmate Bhd, Lee Chin Yok
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Nov - Pembuat baja, Cropmate Bhd melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE yang akan mengumpul  RM52 juta, sebagai sebahagian daripada rancangannya bagi pembelian kilang baharu dan menyokong perkembangan operasi. 

 

Menurut prospektus rasminya, IPO, berharga 20 sen sesaham itu membabitkan terbitan awam 210 juta saham baharu dan tawaran jualan 39.2 juta saham sedia ada. 

 

Secara keseluruhannya, penyenaraian itu akan menawarkan pelabur sehingga 35% dalam syarikat.

 

Permohonan untuk IPO syarikat itu akan ditutup pada 22 November 2024, dengan penyenaraian syarikat dijadualkan pada 5 Disember 2024.

 

Cropmate yang berpangkalan di Selangor, terlibat dalam perumusan dan pengadunan baja konvensional dan khusus, serta perdagangan baja.

 

Syarikat itu pada masa ini mempunyai empat barisan pengeluaran pemadat campuran dengan kapasiti tahunan sehingga 214,000 tan baja.

 

Pada harga tawaran 20 sen, Cropmate akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM147.6 juta, menilai syarikat itu pada kira-kira 14 kali ganda pendapatan 2023. 

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, syarikat itu mencatat keuntungan bersih sebanyak RM10.05 juta.

 

Pengarah Urusan Cropmate, Lee Chin Yok berkata, sebagai syarikat baja pertama yang disenaraikan di Bursa Malaysia, IPO ini mewakili komitmennya untuk meningkatkan produktiviti dan kemampanan pertanian di Malaysia.

 

Penjualan saham baharu itu akan mengumpul RM42 juta, di mana RM17.1 juta akan diperuntukkan untuk modal kerja bagi menyokong operasinya dalam menyediakan baja untuk dusun durian dan ladang kelapa sawit.

 

Cropmate juga memperuntukkan RM16.7 juta untuk membiayai sebahagian pertimbangan pembelian kilang di mana operasi syarikat itu berada manakal, baki dana adalah untuk perbelanjaan modal, termasuk penubuhan makmal penyelidikan dan membiayai perbelanjaan penyenaraian.

 

Sementara itu, tawaran jualan yang akan menghasilkan RM10 juta kasar itu diperuntukkan sepenuhnya kepada pemegang saham jualan, Pengarah Urusan, Lee Chin Yok dan anak lelakinya Lee Cheng Seng dan Lee Cheng Fei, yang kedua-duanya merupakan Pengarah Eksekutif; serta kepada pemegang saham besar Lau Sam Siong dan Datuk Tan Chew Chin.

 

Hong Leong Investment Bank ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan pengumpul buku untuk IPO tersebut. - DagangNews.com