Dasar ekonomi Donald Trump dijangka naikkan KDNK negara kepada RM19.7 bilion - Juwai IQI | DagangNews Skip to main content

Dasar ekonomi Donald Trump dijangka naikkan KDNK negara kepada RM19.7 bilion - Juwai IQI

Gambar hiasan dari AFP
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Nov - Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) Malaysia diunjur naik kepada RM19.7 bilion didorong dasar ekonomi pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kata, Juwai IQI. 

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, walaupun ia masih terlalu awal untuk meramalkan dasar pentadbiran Trump tetapi beliau mempunyai hala tuju dan matlamat jelas. 

 

"Kami menjangkakan pelaksanaan polisi Trump dalam melanjutkan dan mengukuhkan tarif ke atas barangan China akan menyumbangkan tambahan 1% mata kepada KDNK Malaysia sepanjang empat tahun.

 

"Ini kerana tarif tersebut bakal mengalihkan firma pembuatan antarabangsa ke Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Katanya, peningkatan mata dalam KDNK negara bakal menjana RM19.7 bilion dalam saiz ekonomi.

 

"Bagi menjelaskan angka ini, ia bersamaan dengan kira-kira 40% daripada kos Laluan Rel Pantai Timur.

 

"Pentadbiran Trump 2.0 dijangka memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia, walaupun dasarnya tidak ditujukan khusus kepada negara.

 

"Pelaksanaan dan penguatkuasaan tarif terhadap pengeluar China akan mendorong pelaburan baharu ke Malaysia," katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, terdapat beberapa risiko dalam pelaksanaan dasar ekonomi Trump termasuk kadar inflasi yang meningkat di AS yang boleh mendorong kadar faedah lebih tinggi.

 

“Ini boleh meningkatkan pulangan yang lebih tinggi dalam AS, memacu nilai mata wangnya, meningkatkan kos dan mengurangkan daya saing eksport pengeluar Malaysia yang bergantung kepada peralatan import," katanya.- DagangNews.com