KUALA LUMPUR 5 Dis - Syarikat perkhidmatan minyak dan gas, Deleum Bhd (Deleum) mengukuhkan kapasiti rumusan injapnya dengan pengambilalihan 70% kepentingan dalam PT OSA Industries Indonesia (PT OSA) daripada OSA Industries Pte Ltd dengan nilai kira-kira RM31.3 juta.
Kumpulan tersebut menerusi anak syarikat milik penuh Deleum, Deleum Services Sdn Bhd (DSSB) menandatangani perjanjian untuk memperoleh kepentingan itu, yang akan meluaskan pasaran injap minyak dan gas (O&G) Deleum di peringkat serantau.
PT OSA, yang ditubuhkan di Indonesia pada 1994 oleh Ong Siow Aik, adalah pembekal injap dan perkhidmatan penyelenggaraan injap di Indonesia, termasuk untuk industri minyak dan gas.
Sejak 2017, ia merupakan rakan saluran tunggal untuk injap Baker Hughes.
PT OSA menyediakan perkhidmatan kepada syarikat tenaga utama melalui pasukannya yang terdiri daripada 72 orang, disokong oleh kemudahan perkhidmatan yang lengkap di Cikarang, Indonesia.
Pengambilalihan tersebut akan melengkapkan dan mengukuhkan kepakaran teknikal serta keupayaan segmen pengurusan injap Deleum melalui anak syarikat DSSB, Penaga Dresser Sdn Bhd (Penaga Dresser).
Penaga Dresser adalah rakan saluran tunggal untuk injap Baker Hughes dalam industri minyak dan gas, serta tenaga di Malaysia.
Lokasi strategik kemudahan perkhidmatan di Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak menjadikan Penaga Dresser berada dalam kedudukan yang baik untuk menyediakan perkhidmatan tanpa gangguan kepada pelanggan tempatan dan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Deleum, Rao Abdullah berkata, selepas menandatangani Heads of Agreement (HOA) pada Mac tahun ini, pengambilalihan pegangan majoriti sebanyak 70% dalam PT OSA oleh Deleum membuka peluang baharu kepada gabungan entiti tersebut.
"Dengan kepakaran teknikal dalam rumusan pengurusan injap, saya yakin pengalaman kami akan meletakkan kami dalam kedudukan yang baik untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan.
"Untuk pekerja, pengambilalihan ini akan membuka peluang pembangunan bakat, merintis jalan bagi pengalaman lintas sempadan yang lebih luas dalam penyelesaian injap," katanya dalam satu kenyataan.
Pembelian bernilai RM31.3 juta itu akan dipenuhi melalui dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank.
Sebagai sebahagian daripada urusan berkenaan, PT OSA akan memberikan jaminan keuntungan sebanyak RM12.1 juta secara kumulatif untuk tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2024 dan 2025.
Pengambilalihan dijangka selesai pada separuh pertama 2025.
Saham Deleum kekal pada harga RM1.39, menilai kumpulan tersebut pada RM558.16 juta. Kaunter tersebut meningkat 45% tahun ini. - DagangNews.com