KUALA LUMPUR 10 Jan - Eksport minyak sawit Malaysia pada Disember 2024 mencatatkan penurunan sebanyak 9.97% kepada 1.34 juta tan berbanding 1.49 juta tan pada bulan sebelumnya.
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan, pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) bagi bulan tersebut menurun sebanyak 8.30% atau 134,508 tan kepada 1.49 juta tan berbanding 1.62 juta tan pada November.
"Pengeluaran biji sawit pula menurun sebanyak 6.84% secara bulanan kepada 336,618 tan pada Disember 2024 berbanding 361,340 tan pada bulan sebelumnya," jelas laporan prestasi industri bagi Disember 2024.
Menurut laporan sama, pengeluaran minyak biji sawit mentah berkurang sebanyak 10.98% kepada 156,927 tan berbanding 176,292 tan pada November, manakala sisa pepejal biji sawit menurun sebanyak 12.31% kepada 172,830 tan berbanding 197,095 tan.
Dari segi inventori, MPOB melaporkan stok CPO menurun sebanyak 1.45% kepada 894,321 tan berbanding 907,494 tan pada November.
Stok minyak sawit yang diproses pula turun sebanyak 12.25% kepada 814,426 tan berbanding 928,147 tan pada bulan sebelumnya, manakala jumlah stok minyak sawit keseluruhan menurun 6.91% kepada 1.71 juta tan berbanding 1.84 juta tan pada November.
MPOB turut mencatatkan penurunan ketara dalam eksport minyak biji sawit sebanyak 11.65% kepada 95,918 tan pada Disember berbanding 108,568 tan pada November.
Eksport sisa pepejal biji sawit juga menurun sebanyak 8.90% kepada 177,553 tan pada Disember berbanding 194,901 tan pada bulan sebelumnya.
Selain itu, eksport oleokimia pada Disember sedikit menurun kepada 223,447 tan, berkurangan sebanyak 0.38% berbanding 224,290 tan pada November.
Namun, eksport biodiesel mencatatkan peningkatan sebanyak 29.69% kepada 15,231 tan berbanding 11,744 tan pada November.
MPOB melaporkan, tiada import CPO pada Disember, manakala import minyak biji sawit meningkat sebanyak 139.50% kepada 20,291 tan berbanding 8,472 tan pada bulan sebelumnya. - DagangNews.com