KUALA LUMPUR 1 Nov - Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), anak syarikat milik penuh Terengganu Incorporated Sdn Bhd, telah menandatangani surat hasrat (LoI) bersama Qaswa Holdings Sdn Bhd untuk bekerjasama dalam Kluster Maritim Brunei Darussalam, yang melibatkan fasiliti penyelenggaraan dan penyahtauliahan marin bersepadu.
Kerjasama tersebut melibatkan pengoperasian limbungan penyelenggaraan marin (MMY) dan limbungan penyahtauliahan (DY) pertama di Brunei Darussalam.
Selain itu, EPIC berkata, LoI tersebut juga membuka peluang bagi EPIC untuk menjadi pemegang saham dalam Qaswa.
“Fasiliti seluas 14.97 hektar yang terletak di Pulau Muara Besar, Brunei, dibangunkan oleh konsortium terdiri daripada Qaswa sebagai rakan utama tempatan, Dana Modal Pembangunan Strategik di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi Brunei, serta dua syarikat asing sebagai rakan teknikal utama.
"Kedua-dua pihak komited dalam memperkukuhkan kerjasama dalam bidang berkaitan bagi mempromosikan pertukaran kepakaran dan peluang pertumbuhan.
"Fasiliti itu dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada 2026, fasiliti ini akan menjadi pusat perkhidmatan marin lestari serantau, menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan, dan baik pulih (MRO) marin serta pemulihan penyahtauliahan (DR),” ujar EPIC dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Muhtar Suhaili, menyatakan bahawa kerjasama ini menandakan babak baharu bagi EPIC dalam memperluaskan jejak dan kepakaran antarabangsanya.
“Kerjasama ini akan menyumbang kepada pertumbuhan mampan semua pihak terlibat dan memberi manfaat kepada komuniti Malaysia dan Brunei secara lebih meluas,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa kerjasama ini akan memperkukuh kedudukan EPIC sebagai pemain dipercayai dalam industri minyak dan gas serta memacu inovasi dalam perkhidmatan marin dan penyahtauliahan.
Majlis menandatangani LoI yang berlangsung di Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi Brunei turut disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei Darussalam, Datuk Seri Dr. Awang Mohd Amin Liew Abdullah; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi Brunei, Datuk Seri Awang Khairuddin Abdul Hamid; dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Mohd Aini Atan.- DagangNews.com