Fasa 1B Pan Borneo diberi kepada kontraktor tidak layak, kata Bung Moktar di Parlimen | DagangNews Skip to main content

Fasa 1B Pan Borneo diberi kepada kontraktor tidak layak, kata Bung Moktar di Parlimen

KUALA LUMPUR 8 Nov - Penganugerahan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Fasa 1B kepada dua syarikat didakwa melanggar prinsip tadbir urus yang baik, kata Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan).

 

Ketika bangun mencelah sewaktu penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR) di Dewan Rakyat, Bung Moktar mendakwa syarikat berkenaan tidak melepasi proses pra-kelayakan bagi projek itu.

 

“Jabatan Kerja Raya Sabah mencadangkan beberapa syarikat yang layak kepada pejabat KKR. Kementerian mencadangkan salah sebuah syarikat yang disyorkan JKR Sabah.

 

"Malangnya syarikat yang tidak layak langsung ini diminta oleh pihak tertentu untuk dikeluarkan SST (Surat Setuju Terima).

 

"Berdasarkan tatakelola Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kewangan ini merupakan satu pelanggaran yang besar dan melaksanakan JKR Sabah," katanya.

 

 

Bung
Bung Moktar di Parlimen - Gambar fail

 

 

Menjawab perkara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan Kementerian Kewangan bertanggungjawab dalam pemilihan sesebuah syarikat kontraktor bagi projek berkenaan.

 

"Permintaan untuk menggugurkan penganugerahan itu adalah di luar bidang kuasa KKR dan sejak peringkat awal, pra-kelayakan ditawarkan kepada semua syarikat, yang mengambil bahagian termasuk (syarikat yang dianugerahkan) untuk pakej WP32," katanya.

 

Untuk rekod, Projek LPB Fasa 1B melibatkan kerja-kerja menaiktaraf jalan dari Telipud ke Kampung Lumou Baru (WP32). - DagangNews.com