Funding Societies peroleh kemudahan kredit ketiga bernilai RM436 juta daripada HSBC, bantu perkasa PMKS ASEAN | DagangNews Skip to main content

Funding Societies peroleh kemudahan kredit ketiga bernilai RM436 juta daripada HSBC, bantu perkasa PMKS ASEAN

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 5 Nov - Platform pembiayaan digital perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bersepadu terbesar di Asia Tenggara, Funding Societies | Modalku (Funding Societies), pada Selasa menandatangani kemudahan kredit ketiga bernilai lebih RM436 juta bersama HSBC di bawah Dana Pertumbuhan ASEAN. 

 

Secara keseluruhannya, transaksi itu termasuk dua kemudahan kredit tahunan yang dilanjutkan kepada Funding Societies sejak 2022, membuktikan sokongan berterusan HSBC terhadap platform berkenaan.

 

Ia adalah antara kemudahan kredit terbesar yang diberikan oleh HSBC kepada pemberi pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digital di Asia Tenggara. 

 

Kemudahan berkenaan akan memperdalam dan memperluaskan capaian Funding Societies dalam menyediakan akses kredit kepada PKS yang kurang mendapat perhatian di rantau ini. 

 

PMKS
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Funding Societies, Kelvin Teo (kanan) dan Ketua Korporat dan Perbankan Perniagaan HSBC Singapura, Harish Venkatesan.

 

Walaupun Asia Pasifik (APAC) telah memperluas akses kepada perkhidmatan perbankan formal serta mendigitalkan persekitaran komersialnya, rantau ini masih mengalami jurang akses kredit sebanyak RM10.9 trilion, yang membentuk lebih separuh daripada kekurangan pembiayaan perniagaan kecil di peringkat global. 

 

Sebagai rekod, sebanyak 99.9% perusahaan adalah PKS yang menyumbang antara 35% hingga 69% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) setiap negara.

 

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Funding Societies, Kelvin Teo berkata, sokongan berterusan daripada bank global seperti HSBC membuktikan komitmennya dalam menyokong pembangunan perniagaan platform digital, termasuk PKS yang berdepan dengan kadar faedah tertinggi dalam tempoh dua dekad, yang turut memberi kesan kepada ekonomi global. 

 

"Ini membolehkan kami meneroka lebih lanjut pembiayaan bagi pertumbuhan dan keuntungan sesebuah syarikat, serta memperkukuhkan keterangkuman kewangan bagi PKS yang kurang diberi perkhidmatan di rantau ini.

 

"Transaksi ini juga menggariskan penyelesaian yang boleh diskalakan bagi pemberi pinjaman digital seperti Funding Societies meningkatkan modal ekuiti tambahan dan pembiayaan melalui pelbagai saluran, sebagai sebahagian daripada strategi Dana Pertumbuhan ASEAN," katanya dalam satu kenyataan.

 

Selain itu, HSBC akan bertindak sebagai bank penstrukturan, pemberi pinjaman, bank akaun, rakan niaga FX, serta ejen kemudahan dan keselamatan dalam menyediakan penyelesaian pembiayaan yang boleh diskalakan. 

 

Ketua Korporat dan Perbankan Perniagaan HSBC Singapura, Harish Venkatesan berkata, sebagai pelopor dan pemain utama dalam pembiayaan digital PKS di ASEAN, pihaknya berbesar hati menyediakan kemudahan kredit ketiga itu kepada Funding Societies. 

 

"Ini membolehkan kami untuk terus menyokong usaha mereka dalam menyediakan pembiayaan kepada PKS yang menjadi asas masyarakat di rantau ASEAN. 

 

"Kami akan terus menyokong Funding Societies PKS di rantau ini ketika mereka mengembangkan perniagaan melalui Dana Pertumbuhan ASEAN HSBC," jelas beliau.

 

Dana Pertumbuhan ASEAN HSBC bernilai RM4.4 bilion dilancarkan pada Mac 2024 untuk membolehkan perniagaan platform digital yang berpangkalan di Singapura yang menyokong e-dagang di rantau ini, mencapai skala ekonomi merentasi pelbagai pasaran antarabangsa, mengembangkan portfolio aset mereka dan memacu kemajuan. 

 

Bersama dengan Dana Ekonomi Baharu dan Hutang Usaha Niaga, HSBC Singapura menawarkan rangkaian lengkap penyelesaian pembiayaan untuk perniagaan ekonomi baharu di pelbagai peringkat pertumbuhan melalui Dana New Economy dan Venture Debt Fund.

 

Pengumuman tersebut menyusul selepas pelaburan strategik Maybank pada September 2024.

 

Sejak penubuhan Funding Societies pada 2015, ia telah menyalurkan lebih RM17.4 bilion pembiayaan, memberi impak positif kepada lebih daripada 100,000 perniagaan di Singapura, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam, serta memproses RM6.1 bilion dalam nilai transaksi kasar (GTV) setiap tahun sejak memasuki pasaran pembayaran pada akhir 2022. - DagangNews.com