KUALA LUMPUR 31 Dis - GPP Resources Bhd telah mencadangkan untuk melupuskan 51% pegangannya dalam Gambang Power Plant Sdn Bhd dengan wang tunai RM25,500.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, GPP berkata anak syarikat milik penuhnya, Green Energy Resources (M) Sdn Bhd, memeterai perjanjian penjualan saham dengan Wee Lok Hain dan Ma Eng Yau untuk penjualan 25,500 saham biasa, mewakili 51% kepentingan.
“Gambang tidak aktif sejak diperbadankan. Oleh itu, pihak pengurusan memutuskan untuk melepaskan pelaburannya di Gambang dan mengalihkan sumbernya kepada anak-anak syarikat lain.
"Cadangan pelupusan itu adalah sebahagian daripada penstrukturan semula operasi dan organisasi GPP untuk menyelaraskan dan menjajarkan semula entiti dalam GPP dan kumpulan syarikatnya untuk mewujudkan struktur korporat yang lebih ramping dan cekap," kata GPP.
GPP terlibat dalam perniagaan yang berkaitan dengan penggunaan biojisim untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui dan produk batang kelapa sawit (OPT). - DagangNews.com