Hasil 1QFY25 MCE Holdings kekal mendatar | DagangNews Skip to main content

Hasil 1QFY25 MCE Holdings kekal mendatar

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Dis - MCE Holdings Bhd mencatat hasil sebanyak RM41.4 juta pada suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25), mewakili sedikit peningkatan berbanding RM41.3 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Pembuat dan pembekal automotif itu berkata, untung bersih bagi suku itu kekal stabil pada RM4.8 juta.

 

“Berbanding dengan pendapatan suku sebelumnya, untung bersih pada 1QFY25 mencatat peningkatan suku ke suku (QoQ) masing-masing sebanyak 12% dan 17%," katanya dalam kenyataan, hari ini. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan MCE, Dr Goh Kar Chun berkata, prestasi kewangan 1QFY25 kekal stabil, dengan hasil berkembang pada asas tahun ke tahun (YoY) dan QoQ. 

 

GKC
Pengarah Urusan Kumpulan MCE, Dr Goh Kar Chun

 

"Kami terus meletakkan diri kami untuk kejayaan jangka panjang dengan meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan kami serta meluaskan rangkaian produk kami.

 

"Memorandum Persefahaman (MoU) kami dengan Nanjing Chuhang Technology Co Ltd dari China untuk membangunkan penyelesaian radar pemanduan autonomi baru-baru ini menunjukkan usaha kami untuk memenuhi visi jangka masa panjang kami.

 

"Pencapaian kami baru-baru ini dalam segmen kenderaan elektrik (EV) juga membuka peluang besar kerana komponen EV biasanya mempunyai nilai yang lebih tinggi berbanding kenderaan tradisional," katanya.

 

Beliau juga berkata, sebagai tambahan kepada beberapa kontrak jangka panjang utama yang diperoleh dalam beberapa bulan kebelakangan ini, syarikat telah mengambil langkah selanjutnya untuk mengukuhkan jejak global MCE dan potensi eksport dengan meluaskan jangkauan kami ke India.

 

"Melalui usaha sama dengan Abhishek Electronics Manufacturing Private Limited, anak syarikat Kumpulan Abhishek, kami menyasarkan untuk berkembang di pasaran automotif rantau ini," katanya. - DagangNews.com