KUALA LUMPUR 19 Dis - Untung bersih Poh Huat Resources Holdings Bhd susut kepada RM8.9 juta pada suku keempat berakhir 31 Oktober 2024 (4QFY24) berbanding RM10.8 juta pada suku sama tahun sebelumnya kesan daripada kelemahan operasi di Vietnam.
Bagaimanapun, kumpulan itu mencatatkan perolehan lebih tinggi sebanyak RM131 juta berbanding RM106 juta yang dicatatkan pada 4QFY23.
Kumpulan itu berkata, peningkatan dalam perolehan disebabkan tempahan dan penghantaran perabot pejabat yang lebih tinggi daripada operasi Malaysia apabila sentimen dalam kalangan perniagaan Amerika Syarikat (AS) bertukar positif berikutan ketidaktentuan perniagaan semasa tahun-tahun pandemik.
"Pengambilan pekerja dalam kalangan syarikat AS kekal kukuh dan lebih ramai pekerja kembali ke pejabat, membawa kepada perbelanjaan yang lebih tinggi untuk peralatan pejabat dan perabot.
"Penghantaran perabot rumah dari kilang Vietnam lebih rendah kerana perbelanjaan kelengkapan rumah dalam kalangan keluarga AS kekal lemah berikutan perbelanjaan puncak pandemik untuk kemasan isi rumah pada 2022 dan 2023," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) terkini sebanyak 25 mata asas, dan membayangkan kadar penurunan kadar yang lebih perlahan pada tahun akan datang, menunjukkan inflasi yang masih tinggi.
Katanya, ia boleh menjejaskan perbelanjaan dan permintaan pengguna untuk barangan isi rumah yang tahan lama termasuk perabot.
"Walaupun kami menjangkakan pergolakan dan pilihan raya di AS, hala tuju negara itu masih tidak dapat dipastikan.
"Kemampanan pertumbuhan adalah tertakluk kepada dasar kerajaan dan struktur ekonomi dan ini akan menjejaskan hala tuju ekonomi dunia.
"Ketidaksetabilan dolar AS berbanding ringgit hanya akan membawa lebih banyak ketidaktentuan kepada kumpulan," katanya.- DagangNews.com