Hextar Industries ambil alih francais Luckin Coffee, sedia perkenalkan jenama di pasaran tempatan  | DagangNews Skip to main content

Hextar Industries ambil alih francais Luckin Coffee, sedia perkenalkan jenama di pasaran tempatan 

Gambar hiasan dari Facebook Luckin Coffee
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Nov - Hextar Industries Berhad (HIB), melalui anak syarikatnya Global Aroma Sdn Bhd (GASB) mengambil alih francais Luckin Coffee Holding Singapore Pte Ltd di Malaysia dan bersedia untuk memperkenalkannya di pasaran tempatan. 

 

Kumpulan itu berkata, kerjasama ini meletakkan HIB untuk membawa pengalaman kopi Luckin Coffee yang inovatif dan dipacu teknologi ke Malaysia.

 

“Di bawah perjanjian itu, GASB mempunyai hak eksklusif untuk menubuhkan dan mengurus kedai Luckin Coffee di seluruh negara.

 

"Luckin Coffee, yang diasaskan pada 2017, telah mencapai pertumbuhan global yang pesat dengan 21,343 kedai setakat 3QFY24, termasuk penambahan bersih sebanyak 1,382 kedai pada suku itu sahaja.

 

"Jenama itu melaporkan hasil 3QFY24 yang mengagumkan sebanyak RMB1.3 bilion dan mempunyai purata 79.8 juta pelanggan transaksi bulanan, mencerminkan peningkatan 36.5% tahun ke tahun," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Katanya, kemasukan Luckin Coffee ke dalam industri kopi negara adalah langkah penting bagi HIB untuk mempelbagaikan portfolionya dan menerokai sektor F&B Malaysia yang berkembang maju.

 

"GASB merancang untuk melancarkan kedai Luckin Coffee pertamanya menjelang 1QFY25, memanfaatkan pendekatan yang diterajui teknologi dan model perniagaan dipacu data jenama itu untuk menguasai sebahagian besar pasaran tempatan," katanya.

 

Luckin Coffee
(Dari kiri) Pemegang saham utama HIB, Datuk Eddie Ong Dato Eddie dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Aroma Sdn Bhd (GASB), Dr. Jeff Lim Chee Lip 

 

Pemegang saham utama HIB, Datuk Eddie Ong menekankan kepentingan strategik perkongsian itu. 

 

"Kerjasama dengan Luckin Coffee ini membuka peluang pertumbuhan untuk HIB. 

 

"Kami menyasarkan untuk mengikuti jejak langkah kejayaan global jenama di sini di Malaysia, menawarkan pengalaman kopi yang dipacu nilai sambil berkembang secara agresif," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif GASB, Dr. Jeff Lim Chee Lip berkata, visi kumpulan adalah  menjadikan Kopi Luckin sebuah jenama terkemuka di Malaysia, menggabungkan produk luar biasa dengan perkhidmatan inovatif.

 

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Luckin Coffee, Dr. Jinyi Guo, menyokong kerjasama itu dengan menekankan kepakaran HIB dan sumbernya bagi mempercepatkan pengembangan Luckin Coffee di Malaysia. 

 

"Langkah ini mengukuhkan komitmen Luckin Coffee untuk menyampaikan pengalaman kopi berkualiti tinggi di seluruh dunia," katanya.- DagangNews.com