Hibiscus kembangkan operasi ke medan gas Brunei selepas menyelesaikan pengambilalihan TotalEnergies Brunei bernilai RM1.11 bilion | DagangNews Skip to main content

Hibiscus kembangkan operasi ke medan gas Brunei selepas menyelesaikan pengambilalihan TotalEnergies Brunei bernilai RM1.11 bilion

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 15 Okt - Hibiscus Petroleum Bhd telah menyelesaikan pengambilalihan TotalEnergies EP (Brunei) BV, menandakan penglibatannya dalam sektor gas Brunei.

 

Menurut Bursa Malaysia, pengambilalihan itu melibatkan 37.5% kepentingan yang dioperasikan oleh TotalEnergies Brunei di kawasan Blok B Maharajalela Jamalulalam (MLJ), sebuah aset gas berkualiti tinggi yang terletak di luar pesisir Brunei. 

 

Dengan pengambilalihan berkenaan, Hibiscus Petroleum kini memegang 37.5% kepentingan dan mengambil peranan sebagai pengendali untuk medan gas tersebut.

 

Rakan usaha sama lain adalah Shell Deepwater Borneo BV dengan 35% kepentingan dan Brunei Energy Exploration Sdn Bhd yang memegang 27.5%.

 

Konsesi untuk Blok B MLJ sah sehingga November 2029, dengan potensi untuk lanjutan tertakluk kepada persetujuan semua rakan usaha sama.

 

Ini terjadi selepas unit Hibiscus Petroleum, Simpor Hibiscus Sdn Bhd, pada Jun 2024 menandatangani perjanjian pembelian saham bersyarat dengan TotalEnergies Holdings International BV untuk memegang 100% kepentingan dalam TotalEnergies Brunei dengan nilai RM1.11 bilion secara tunai.

 

Selepas pengambilalihan, Pengarah Urusan Hibiscus Petroleum, Dr Kenneth Gerard Pereira menyatakan, langkah itu menandakan peluasan geografi kumpulan ke Brunei dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain penerokaan dan pengeluaran yang bebas di rantau Asean.

 

“Kami percaya bahawa aset ini akan memberikan pulangan yang lebih tinggi dan positif kepada pemegang saham kami. 

 

“Aset terbesar adalah pasukan di Brunei yang kami alu-alukan ke Kumpulan Hibiscus. Kepakaran teknikal, pengetahuan mendalam dan pengalaman mereka adalah penting untuk memberikan nilai dengan selamat dan berkesan kepada semua pihak berkepentingan,” katanya.

 

Harga saham Hibiscus Petroleum ditutup turun tiga sen atau 1.3% kepada RM2.24 pada Isnin, menjadikan kumpulan itu mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM1.8 bilion. - DagangNews.com