Hutang negara kini berjumlah RM1.24 trilion, kata PM di Dewan Rakyat | DagangNews Skip to main content

Hutang negara kini berjumlah RM1.24 trilion, kata PM di Dewan Rakyat

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 12 Nov - Hutang Kerajaan Persekutuan telah meningkat sebanyak RM66 bilion kepada RM1.24 trilion pada akhir September, berbanding RM1.17 trilion pada akhir tahun lepas, Dewan Rakyat dimaklumkan.

 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan berkata, peningkatan hutang adalah berikutan keperluan untuk membiayai defisit fiskal, iaitu membiayai perbelanjaan pembangunan.

 

Dalam jawapan bertulis Parlimen, Anwar berkata jumlah liabiliti Kerajaan Persekutuan berjumlah RM369 bilion pada akhir Jun 2024, berbanding RM361 bilion pada akhir 2023.

 

 

Ini termasuk jaminan kerajaan berjumlah RM231 bilion (2023: RM227 bilion) dan liabiliti lain sebanyak RM137 bilion (2023: RM133 bilion).

 

“Setakat hari ini, kerajaan tidak pernah gagal memenuhi obligasi hutangnya, termasuk pembayaran balik dan faedah, seperti yang dijadualkan,” kata Anwar.

 

“Secara amnya, setiap tahun, kerajaan mesti meminjam untuk membiayai defisit fiskal dan membayar balik hutang yang matang berikutan defisit berterusan dalam kewangan kerajaan.”

 

Beliau menjawab soalan Ahmad Amzad Mohamed (PN-Kuala Terengganu) yang bertanyakan mengenai hutang dan liabiliti negara, serta obligasi pembayaran balik hutang dan faedah bagi 2023 dan 2024.

 

Amzad juga bertanya tentang strategi kerajaan memandangkan peningkatan hutang dan liabiliti.

 

Perdana Menteri berkata beberapa langkah sedang dilaksanakan, termasuk langkah konsolidasi fiskal bagi memastikan pinjaman baharu lebih rendah berbanding tempoh pandemik COVID-19.

 

Anwar berkata defisit fiskal negara telah menunjukkan trend menurun daripada RM98 bilion (6.4 peratus daripada KDNK) pada 2021 kepada RM91 bilion (5 peratus daripada KDNK) pada 2023.

 

Defisit fiskal diunjurkan terus menurun kepada RM84.3 bilion (4.3% daripada KDNK) pada 2024, dan RM80 bilion (3.8% daripada KDNK) pada 2025, kata Anwar. Beliau berkata ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk menurunkan defisit fiskal negara kepada 3 peratus menjelang 2026.

 

Anwar juga berkata kerajaan sedang mengembangkan asas pendapatannya dengan langkah-langkah seperti menaikkan kadar cukai perkhidmatan dan memperkenalkan sistem e-invois.

 

Beliau berkata Putrajaya sedang mengoptimumkan perbelanjaan awam dalam pelbagai cara. Kerajaan juga sedang mengkaji semula pelaksanaan projek luar bajet dan mengehadkan pengeluaran jaminan kewangan kepada 25% daripada KDNK. - DagangNews.com