KUALA LUMPUR 21 Nov - Hasil DRB-HICOM Bhd bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September (9MFY24) meningkat sebanyak 1.2% kepada RM12.23 bilion berbanding RM12.08 billion pada tempoh sama pada tahun sebelumnya dipacu sumbangan sektor terasnya.
Bagaimanapun, untung bersih kumpulan bagi tempoh itu menyusut kepada RM162.14 juta berbanding RM353.9 juta pada 9MFY23.
Bagi suku suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY24), kumpulan itu mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 3.4% kepada RM4.13 bilion berbanding RM3.99 bilion.
"Pertumbuhan hasil ini mencerminkan daya tahan kumpulan serta keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran yang berubah-ubah, dipacu oleh sumbangan daripada sektor terasnya walaupun menghadapi cabaran yang berterusan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sektor automotif menghadapi penurunan jumlah jualan kenderaan akibat persaingan yang semakin sengit dalam pasaran kenderaan tempatan manakala sektor pos mencatat penurunan hasil terutamanya akibat penurunan perniagaan antarabangsa dan jumlah mel pukal dalam segmen perniagaan mel, disebabkan oleh penurunan volum rentas sempadan berikutan kemelesetan dalam seluruh industri.
Sektor perbankan mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 26.2% kepada RM1.59 bilion bagi 9MFY24 dipacu pendapatan pembiayaan yang lebih tinggi dan disokong oleh pertumbuhan yang mampan dan pangkalan pelanggan yang berkembang.
Kumpulan itu berkata, sektor aeroangkasa dan pertahanan, hasil meningkat sebanyak 24.0% kepada RM584.05 juta mencerminkan peningkatan dalam penghantaran pesawat jenis lorong tunggal dan komponen pesawat terpilih.
"Bagi segmen perkhidmatan, hasil meningkat sebanyak 13.4% kepada RM691.50 juta, disokong peningkatan aktiviti katering dalam penerbangan dan perkhidmatan pengendalian darat, selaras dengan pemulihan dalam industri perjalanan udara," katanya.
Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, ketika Proton membina momentum dengan peningkatan prestasi jualan pada suku ketiga, syarikat tersebut bersedia melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertama Malaysia yang dikenali sebagai Proton e.MAS 7.
Model SUV yang dilengkapi dengan teknologi canggih dan ciri-ciri lestari, menandakan pencapaian penting ke arah aspirasi mobiliti hijau Malaysia.
"Fokus strategik DRB-HICOM pada transformasi digital merangkumi pelbagai sektor perniagaan, termasuk sektor perbankan dan pos yang bertujuan untuk mengoptimumkan
kecekapan operasi.
"Bagi sektor lain seperti aeroangkasa dan pertahanan, perkhidmatan, dan hartanah, kumpulan kekal komited terhadap strategi untuk memperkukuh daya tahan perniagaan dan kestabilan jangka panjang," katanya.- DagangNews.com