KUALA LUMPUR 3 Dis - Industri takaful di Malaysia mencatat pencapaian besar dengan jumlah aset mencecah RM52.3 bilion pada Jun 2024, sekali gus membuka jalan untuk sumbangan yang lebih besar kepada kewangan dan struktur sosial Malaysia.
Pengerusi Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Elmie Aman Najas berkata, bukan setakat itu, sektor tersebut juga telah membayar RM37 bilion dalam bentuk tuntutan untuk tempoh 10 tahun lalu, mencerminkan peranan penting takaful dalam menyediakan perlindungan kewangan dan memenuhi keperluan kebajikan para peserta.
"Pengendali takaful kini menyumbang sebanyak 32 peratus dalam pasaran insurans dan takaful di Malaysia, dengan sumbangan kira-kira 4.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2023," katanya pada majlis Sidang Kemuncak Pemimpin dan Ejen Takaful (TLAS) 2024.
Beliau berkata, produk takaful keluarga menjadi penyumbang utama apabila mencatat 42 peratus daripada perniagaan baharu pada 2023.
"Permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian kewangan yang berorientasikan keluarga menunjukkan kemampuan sektor ini untuk memenuhi keperluan pengguna yang berkembang, terutamanya di tengah ketidaktentuan ekonomi dan kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya.
Bagaimanapun, Elmie berkata, cabaran tetap wujud kerana kadar penembusan takaful di Malaysia cuma mencatat 20 peratus dengan hanya dua daripada 10 rakyat Malaysia dilindungi oleh pelan takaful.
"Mencapai sasaran penembusan sebanyak 75 peratus memerlukan usaha yang besar, kerjasama dan inovasi dalam kalangan semua pihak berkepentingan.
"Satu daripada teras strategi untuk mengatasi jurang ini adalah Hijrah27, sebuah inisiatif yang diwujudkan bagi memudahkan rakyat Malaysia mencarum dalam takaful," tambahnya.
Beliau turut menekankan kepentingan peranan ejen dalam meningkatkan kesedaran dan kepercayaan orang ramai.
"Dengan 117,000 ejen berdaftar di seluruh negara, peranan mereka sangat penting dalam mendidik masyarakat mengenai manfaat takaful dan merapatkan jurang antara penyedia dan peserta.
"Walaupun industri takaful telah membuat kemajuan yang luar biasa, ia perlu bersedia berdepan perubahan ekonomi dan jangkaan pelanggan yang semakin berubah," ujar beliau. - DagangNews.com