KUALA LUMPUR 19 Nov - Tawaran awam permulaan (IPO) Malaysia berjaya memperoleh modal AS$1.5 bilion tahun ini, tertinggi dalam tempoh 18 tahun, membentuk separuh daripada modal yang diperoleh di Asia Tenggara.
Pada AS$3 bilion, modal yang diperoleh di rantau itu setakat tahun ini, berada pada paras terendah dalam sembilan tahun.
Pasaran IPO Asia Tenggara yang lebih luas menghadapi masalah besar pada 2024 di mana rantau ini menyaksikan 122 IPO, memperoleh kira-kira AS$3 billion atau penurunan ketara daripada AS$5.8 bilion yang diperoleh daripada 163 IPO pada 2023.
Penurunan itu disebabkan oleh kadar faedah yang tinggi, turun naik mata wang dan ketegangan geopolitik melemahkan keyakinan pelabur dan melengahkan penyenaraian awam.
Indonesia, secara tradisinya berprestasi tinggi, mengalami kelembapan ketara dalam aktiviti IPO, tanpa penyenaraian dalam 10 teratas mengikut saiz disebabkan ketidaktentuan pada tahun pilihan raya.
Sebaliknya, Malaysia menyumbang lebih 50% daripada dana IPO rantau yang diperoleh, dengan 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd memegang IPO terbesar sebanyak AS$574 juta manakala Thailand dan Indonesia secara kolektif menyumbang kepada bakinya.
Untuk tempoh 10.5 bulan pertama 2024, Malaysia merekodkan 46 IPO.
Permodalan pasaran IPO mencecah AS$6.6 bilion, mewakili separuh daripada jumlah permodalan pasaran IPO rantau ini, mengukuhkan kepimpinan Malaysia di Asia Tenggara.
Prestasi itu menandakan lonjakan ketara daripada 32 IPO dan AS$3.1 bilion dalam permodalan pasaran yang dicatatkan pada 2023.
Prestasi kukuh pada 2024 disokong oleh Pasaran ACE yang rancak, yang menyaksikan 34 penyenaraian, yang tertinggi sejak penubuhannya pada 2009.
"Pasaran IPO Malaysia telah menunjukkan daya tahan dan potensi pertumbuhan yang kukuh. Syarikat memanfaatkan prospek ekonomi negara yang stabil dan penilaian yang menggalakkan, menjadikan Bursa Malaysia destinasi menarik untuk penyenaraian," kata Rakan Kongsi Sokongan Perakaunan Transaksi Deloitte Malaysia, Wong Kar Choon.
Beliau juga menekankan, keadaan itu didorong penggunaan yang teguh, pertumbuhan pelaburan awam dan swasta yang kukuh serta pemulihan dalam perdagangan luar yang mengakibatkan pengembangan dalam semua sektor terutamanya pembinaan.
Memandang ke hadapan, Kar Choon menjangkakan Malaysia mencapai prestasi yang baik pada 2025 dan yakin Malaysia boleh mencapai lebih daripada 30 IPO.
Bursa Malaysia bersedia untuk menjadi hab serantau untuk penyenaraian awam dengan minat yang tinggi daripada syarikat dan pelabur, serta meningkatkan penyertaan asing.
Tumpuan negara terhadap inovasi dan kemampanan—terutamanya dalam tenaga boleh diperbaharui—kemungkinan akan menarik lebih banyak syarikat yang ingin memanfaatkan permintaan pelabur yang teguh, mewujudkan momentum yang kukuh untuk 2025.- DagangNews.com