JKPK cadang kerajaan hentikan PLKN 3.0 berikutan matlamat program yang kurang jelas | DagangNews Skip to main content

JKPK cadang kerajaan hentikan PLKN 3.0 berikutan matlamat program yang kurang jelas

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 5 Dis - Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia mencadangkan agar kerajaan tidak meneruskan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 berikutan matlamat yang tidak jelas.

 

Pengerusinya yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, satu kajian yang lebih mendalam dan terperinci perlu dibuat terlebih dahulu sekiranya kerajaan masih berhasrat untuk melaksanakannya.

 

Katanya, pendirian JKPK itu dibuat berdasarkan beberapa sebab selepas mengadakan mesyuarat pada 3 Disember lalu bagi mendengar taklimat daripada Kementerian Pertahanan dan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) berkenaan laporan penilaian dan keberkesanan PLKN 3.0.

 

"Pelaksanaan PLKN 3.0 tidak mempunyai objektif dan sasaran pencapaian yang jelas. Sekiranya ia ingin dilaksanakan juga, matlamat dan modulnya hendaklah berasaskan latihan ketenteraan atau separa ketenteraan.

 

"Tetapi, persoalannya adakah negara memerlukan PLKN yang sedemikian? Selain itu, modul PLKN 3.0 yang dicadangkan ini dilihat bercampur aduk, dengan 70 peratus asas ketenteraan dan 30 peratus kenegaraan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Saifuddin berkata, kandungan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan kandungan-kandungan kenegaraan lain boleh disampaikan melalui program atau institusi pendidikan sedia ada dan sebagainya.

 

"Selain itu, beberapa kajian mendapati, PLKN 1.0 dan 2.0 tidak meninggalkan kesan positif jangka panjang dalam kalangan calon-calon. Dengan kata lain, ia kurang berkesan," ujarnya.

 

Tambah beliau, bukan sahaja kurang berkesan, dua edisi PLKN sebelum ini juga menelan kos yang tinggi.

 

Kerajaan telah memperuntukkan RM50 juta untuk PLKN 3.0 pada tahun depan. - DagangNews.com