KUALA LUMPUR 5 Nov - Johor bakal menjadi negeri pertama menawarkan gaji premium bermula RM4,000 dan RM5,000 kepada pekerja berkemahiran tinggi, menerusi penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang dilancarkan pada Ahad.
Titah berkenaan dibuat oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam satu hantaran di laman sosial Facebooknya pada Selasa.
Menurut baginda dalam hantaran sama, kerajaan negeri menerusi Johor Plantations Group Berhad (JPG) berjaya memeterai kerjasama dengan syarikat Jepun, Fuji Oil Asia Pte Ltd untuk membina kilang penapisan minyak sawit serta lemak khusus di negeri berkenaan.
"Kerjasama ini membabitkan nilai pembangunan awal berjumlah RM500 juta. Kerajaan Negeri Johor turut bertemu dengan 83 syarikat terkemuka di Korea Selatan untuk mempromosikan inisiatif penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan bakal membawa pelaburan strategik bernilai kira-kira AS$190 juta (RM827 juta) ke negeri ini.
"Projek-projek baharu ini dijangka mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk bangsa Johor dalam beberapa tahun yang akan datang," titah baginda dalam kenyataan tersebut.
Baginda pada masa sama memberitahu, Istana Besar Johor dan Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan akan dinaik taraf dalam masa terdekat sebelum dibuka kepada umum.
Jelas baginda, ia adalah sebahagian usaha menambah nilai pelancongan di Johor Bahru memandangkan kedua-duanya mempunyai pelbagai sejarah negeri sejak abad ke-19. - DagangNews.com