Jualan rendah daripada sektor awam, TA Securities ramal prestasi 4QFY24 Duopharma sedikit lemah | DagangNews Skip to main content

Jualan rendah daripada sektor awam, TA Securities ramal prestasi 4QFY24 Duopharma sedikit lemah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Nov - Prestasi 4QFY24 Duopharma Biotech Berhad dijangka sedikit lemah kesan daripada jualan lebih rendah kepada sektor awam kerana kebiasaannya kerajaan akan mengurangkan perbelanjaan perolehan perubatan pada Disember.

 

TA Securities berkata, menjelang FY25, pihaknya mengunjurkan pendapatan kumpulan berkembang 43.1% kepada RM88.4 juta didorong sumbangan lebih tinggi daripada kontrak Senarai Pembelian Produk yang Diluluskan (APPL).

 

"Ia juga akan didorong pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan harga bahan farmaseutikal aktif yang lebih rendah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan meningkat 73.9% kepada RM15.59 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2024 (3QFY24) daripada RM8.97 juta setahun lalu, hasil lebih tinggi.

 

Hasil bagi suku tersebut meningkat 23.3% kepada RM208.73 juta daripada RM169.24 juta pada 3QFY2023, dipacu oleh jualan lebih tinggi merentas sektor utama, khususnya segmen kesihatan awam.

 

Bagi sembilan bulan pertama FY24, untung bersih Duopharma meningkat 7.7% kepada RM47.56 juta daripada RM44.14 juta setahun lalu, manakala hasil meningkat 15.4% kepada RM620.02 juta daripada RM537.23 juta.

 

Sepanjang 3QFY24, dua anak syarikat kumpulan iaitu Duopharma (M) Sdn Bhd dan Duopharma Manufacturing (Bangi) Sdn Bhd memenangi kontrak bernilai RM87.66 juta untuk membekalkan produk farmaseutikal dan bukan farmaseutikal kepada kerajaan sehingga 31 Disember 2026.

 

Firma penyelidikan itu berkata, dari segi campuran jualan, jualan tempatan kekal sebagai penyumbang utama kepada kumpulan, menyumbang 93.3% daripada hasil manakala eksport menyumbang 6.7%.

 

Katanya, untung bersih 3QFY24 menurun sebanyak 6.6% dari suku tahun ke suku tahun kepada RM15.6 juta. 

 

"Ini disebabkan oleh jualan yang lebih lemah kepada pasaran preskripsi. Bagi suku tersebut, hasil turun 4.4% kepada RM208.7 juta," katanya.

 

TA Securities mengekalkan saranan 'beli' pada harga RM1.50 sesaham.- DagangNews.com