Kawalan industri dalam EVBM memberi manfaat kepada ekosistem EV, tarik lebih banyak pelaburan hijau | DagangNews Skip to main content

Kawalan industri dalam EVBM memberi manfaat kepada ekosistem EV, tarik lebih banyak pelaburan hijau

Setiausaha Agung MITI, Dato' Hairil Yahri Yaacob bersama peserta Persidangan Pengurusan Kenderaan Elektrik dan Bateri yang diadakan bersempena dengan Pameran dan Persidangan Produk Hijau & Eco Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2024.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 Okt - Perbadanan Produktiviti Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan Garis Panduan Pengurusan Kenderaan Elektrik dan Bateri (EVBM) di Persidangan Pengurusan EV dan Bateri 2024, yang diadakan bersempena dengan Pameran dan Persidangan Produk Eco & Greentech Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2024.

 

Pengenalan garis panduan itu, yang diketuai oleh Northport (Malaysia) Bhd dengan kerjasama pelbagai perniagaan dan pengawal selia dalam ekosistem EV, difasilitasi oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan sokongan dari Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii), menyediakan rangka kerja untuk pengawalan kendiri industri, dengan memastikan pengurusan kenderaan elektrik (EV) dan bateri EV yang selamat dan mampan.

 

Sebagai sokongan terhadap garis panduan berkenaan, Setiausaha Agung Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hairil Yahri Yaacob berkata, pelancaran tersebut menandakan langkah penting dalam usaha Malaysia ke arah kelestarian dan produktiviti dalam sektor EV yang sedang berkembang.

 

"MITI menyokong sepenuhnya Garis Panduan EVBM kerana ia menawarkan rangka kerja yang jelas kepada perniagaan untuk mengurus EV dan bateri dengan selamat dan mampan. Berdasarkan prinsip pengurusan kitaran hayat, garis panduan ini merangkumi pengendalian, pengangkutan, pelupusan, dan pengitaran semula EV dan bateri EV. 

 

"Oleh itu, pelancaran ini adalah langkah utama untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan serantau untuk mobiliti elektrik dan menarik pelaburan teknologi hijau di masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail menyifatkan, garis panduan itu mampu memperkasakan industri, menjadikan pematuhan lebih mudah dan memberi kebebasan kepada perniagaan untuk menumpukan perhatian kepada peningkatan produktiviti dan daya saing. 

 

"Dengan menekankan aspek kawalan, syarikat dapat mengekalkan standard keselamatan dan alam sekitar yang tinggi sambil mendorong inovasi dan pertumbuhan," ujar beliau.

 

Persidangan yang dianjurkan oleh Korporasi Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) dan MPC dengan sokongan MITI, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar, dan Kelestarian (NRES), MARii, dan NanoMalaysia Berhad, mengumpulkan lebih 100 peserta, termasuk persatuan perniagaan dan badan pengawal selia, untuk membincangkan amalan terbaik dalam pengurusan EV dan bateri.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof menyifatkan,g aris panduan terbabit memastikan rantaian bekalan EV beroperasi dengan selamat dan efisien seiring dengan peningkatan penggunaan.

 

Garis Panduan EVBM dijangka menjadi alat asas bagi perniagaan dalam sektor kenderaan elektrik, membolehkan syarikat erlibat memenuhi keperluan keselamatan, alam sekitar, dan pengawalan. 

 

Dengan mengamalkan garis panduan, industri akan meningkatkan produktiviti dan daya saing sambil mengekalkan standard pematuhan yang tinggi. - DagangNews.com