Kenanga Research ramal P.I.E. Industrial terus teroka sektor automotif, robotik, perubatan dan telekomunikasi | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research ramal P.I.E. Industrial terus teroka sektor automotif, robotik, perubatan dan telekomunikasi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Nov - Kenanga Research meramalkan P.I.E. Industrial Bhd akan terus meneroka peluang selanjutnya dalam sektor automotif, robotik, perubatan dan telekomunikasi selain berada di landasan terbaik untuk memulakan pengeluaran besar-besaran bagi pelanggan pusat data baharu pada 2025.

 

Katanya, kumpulan itu sedang dalam perbincangan aktif bersama bakal pelanggan merentas sektor automotif, robotik, perubatan dan telekomunikasi, walaupun pihaknya belum lagi mengambil kira perkara itu dalam model pendapatannya.

 

"Kami percaya cadangan nilai kumpulan itu terletak pada rekod prestasinya yang teguh, meletakkannya sebagai penyedia EMS yang sangat dicari, terutamanya apabila syarikat China mempercepatkan strategi China+1 bagi mengurangkan potensi tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas import China," katanya.

 

Firma peyelidikan itu berkata, untung berish 9MFY24 kumpulan sebanyak RM35.8 juta secara amnya mencapai 51% daripada ramalan dan 41% daripada unjuran konsensus, di mana pihaknya percaya perbezaan utama adalah disebabkan kepada kesan tukaran mata wang asing.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih P.I.E. Industrial pada 3QFY24 susut kepada RM8.83 juta kesan permintaan lemah bagi aktiviti pembuatan elektronik

 

Menuju ke suku keempat, Kenanga Research menjangkakan prestasi jujukan yang lebih kukuh, disokong oleh penstabilan kesan tukaran mata wang asing dan peningkatan jumlah pengeluaran daripada Pelanggan A, disokong oleh bekalan IC yang dipertingkatkan dan ruang lantai khusus yang diperluaskan.

 

"Projek ini beroperasi secara konsainan, dengan Pelanggan A membekalkan semua bahan manakala kumpulan itu mengendalikan proses SMT dan pemasangan akhir," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menyukai P.I.E. Industrial kerana set kemahiran komprehensifnya, menjadikannya penyedia EMS pilihan utama untuk syarikat-syarikat multinasional (MNC) selain memiliki kelebihan daya saing sebagai unit Foxconn.

 

Kumpulan itu juga memiliki pangkalan pelanggannya yang pelbagai daripada terlibat dalam peranti komunikasi dan alatan kuasa kepada peralatan DeFi terkini.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM6.35 sesaham," katanya.- DagangNews.com