KUALA LUMPUR 15 Nov - KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) melengkapkan pemerolehan terbaharunya bagi harta peruncit utama di Gerik, Perak sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperluas operasinya di seluruh Malaysia.
Menamakan penambahan terbaharu itu sebagai strategik, kumpulan itu melaporkan, transaksi berkenaan akan meningkatkan portfolionya kepada 12 aset, termasuk tujuh KIP Mall di seluruh Malaysia, AEON Mall Kinta City di Perak dan harta industri utama di Pulau Indah, Klang.
Dalam satu kenyataan semalam, KIP REIT menyatakan, aset baharu yang diperoleh terdiri daripada sebuah pasar raya besar satu tingkat, ruang kereta bawah tanah dan ruang pejabat dengan keluasan 4,663 meter persegi dan jumlah luas sewa bersih sebanyak 60,895 kaki persegi.
Menurut KIP REIT, pemerolehan terbabit meningkatkan kapasiti mereka untuk menjana pulangan jangka panjang dan memberikan pendapatan tinggi yang stabil kepada pemegang unit.
Hartanah berkenaan kini disewa oleh TF Value-Mart Sdn Bhd, sebuah rangkaian pasar raya besar terkenal di Malaysia, menjanjikan pendapatan sewa yang kukuh dengan hasil tahunan awal sebanyak 7.5%.
Kumpulan itu telah mendapatkan sewa induk jangka panjang triple net dengan TF Value-Mart, bersama dengan kenaikan sewa setiap tiga tahun untuk memastikan pertumbuhan yang mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT, Valerie Ong Pui Shan berkata, pihaknya gembira dengan pemerolehan itu yang mengukuhkan kehadiran syarikat di Perak, selaras dengan strategi untuk memperoleh aset yang menawarkan hasil tinggi dan potensi pertumbuhan yang kukuh.
Beliau memberitahu, jenama TF Value-Mart yang mantap dan asas pelanggan yang setia menjadikan pemerolehan tersebut sebagai tambahan berharga kepada portfolio syarikat, meningkatkan aliran pendapatan dengan pulangan yang stabil dan menarik.
"Fokus kami terhadap harta peruncitan dan industri yang berorientasikan komuniti meletakkan kami dalam kedudukan yang unik di pasaran.
"Dengan pemerolehan di Gerik kini selesai, kami menantikan peluang seterusnya yang selaras dengan nilai ESG kami, menawarkan pemegang unit bukan sahaja kestabilan kewangan, tetapi juga pelaburan yang memberi sumbangan positif kepada masyarakat dan alam sekitar," katanya.
Pemerolehan terbabit merekod pencapaian terkini kumpulan, selepas penyelesaian KIP Mall Kota Warisan dan penambahan D’Pulze Shopping Centre yang akan datang di Cyberjaya.
Langkah strategik itu menekankan komitmen KIP REIT untuk mencipta portfolio yang pelbagai dengan aset berkualiti tinggi, untuk memenuhi keperluan komuniti setempat sambil memberikan pendapatan yang mampan dan jangka panjang. - DagangNews.com