Kuala Lumpur bandar raya global bercita-cita tinggi berdasarkan petunjuk daya saing masa depan - Laporan | DagangNews Skip to main content

Kuala Lumpur bandar raya global bercita-cita tinggi berdasarkan petunjuk daya saing masa depan - Laporan

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 1 Nov - Bandar raya Kuala Lumpur menunjukkan peningkatan dalam daya saing bandar apabila mencatat prestasi yang baik dari segi daya tarikan pelabur, infrastruktur intelektual dan fizikal, serta pengurusan dan tadbir urus bandar, menurut laporan bertajuk Penjejak Daya Saing Bandar oleh syarikat perunding pembangunan lestari, Arup. 

 

Menurut laporan tersebut, Kuala Lumpur mencatat kemajuan signifikan dalam meningkatkan ruang hijau, efisiensi penggunaan tanah dan terus memperbaiki tindakan terhadap perubahan iklim, seperti melalui inisiatif Greening KL dan Pelan Bandar Pintar Kuala Lumpur.

 

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan, kualiti hidup masih menjadi cabaran bagi Kuala Lumpur, dengan penduduk menghadapi masalah utama berkaitan pergerakan dalam bandar, intensiti kerja dan keterangkuman.

 

Antara semua bandar ASEAN yang dinilai, Singapura menduduki tempat teratas dalam daya saing bandar dengan skor 17 daripada 20, diikuti oleh Kuala Lumpur (11), Bangkok (10), Ho Chi Minh (10), Jakarta (9), Metro Manila (7), Hanoi (7) dan Phnom Penh (5).

 

Bandar-bandar tersebut dinilai mengikut lima kategori iaitu membangun, aspirasi, daya saing, kepimpinan dan terbaik dalam kelas. 

 

Kuala Lumpur, Bangkok dan Ho Chi Minh berada dalam kategori keempat iaitu aspirasi, manakala Jakarta, Metro Manila, Hanoi dan Phnom Penh termasuk dalam kategori membangun.

 

Singapura adalah satu-satunya bandar ASEAN yang dinilai sebagai terbaik dalam kelas, bersama dengan bandar-bandar lain seperti London, Sydney dan San Francisco. 

 

Menurut Arup, bandar-bandar yang dinilai sebagai aspirasi dan membangun, menghadapi cabaran dalam pertumbuhan, tetapi memiliki aset semula jadi yang apabila digabungkan dengan strategi perancangan bandar yang inovatif dapat membantu meningkatkan daya saing.

 

Laporan itu juga menyatakan, bandar-bandar lain di Malaysia mempunyai peluang untuk meningkatkan daya tarik kepada pelabur global dengan memberi tumpuan kepada ketahanan jangka panjang terhadap masalah iklim.

 

Jelas laporan tersebut, pihak berkuasa di bandar-bandar perlu memikirkan prestasi ekonomi dan infrastruktur pengangkutan untuk terus menarik pelaburan selain memberi fokus kepada tindakan iklim dan perubahan demografi untuk berjaya pada masa depan. 

 

Laporan Penjejak Daya Saing Bandar itu mengkaji 63 bandar raya di seluruh dunia berdasarkan 37 petunjuk kejayaan masa depan, dengan sekitar satu perempat tertumpu pada tindakan iklim yang meliputi empat bidang penilaian utama iaitu daya tarik pelabur, aset dan infrastruktur, populasi dan daya tarik, serta pengurusan dan tadbir urus bandar. 

 

Penasihat & Pimpinan untuk Bandar Malaysia di Arup, Murali Ram berkata, hasil daripada laporan itu boleh digunakan oleh bandar-bandar di Malaysia untuk meningkatkan daya tarik kepada pelabur. 

 

"Laporan menunjukkan, Malaysia boleh meningkatkan daya tarik bandar-bandar kita dengan melabur dalam pelan ketahanan dan mitigasi iklim yang kukuh. 

 

"Kami mendapati, sebanyak 76% bandar yang dikaji mempunyai pelan strategi iklim yang baik, dengan laporan memberi amaran bahawa bandar perlu melaksanakan pelan tersebut kerana kegagalan untuk mengurus risiko iklim boleh memberi kesan buruk kepada daya saing global sesebuah bandar," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com