KUALA LUMPUR 14 Nov - LBS Bina Group Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Invest Sabah Berhad, Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah dan Midwest Green Sdn Bhd bagi meneroka projek tenaga boleh diperbaharui (RE).
Dalam makluman kepada Bursa, pembangun hartanah itu berkata, kerjasama itu melibatkan cadangan pembinaan Loji Hidrogen Hijau 10 gigawatt (GW) di Sabah.
“Rangka kerja MoU ini melibatkan pembangunan dan pembinaan kemudahan pengeluaran hidrogen hijau yang dikuasai oleh tenaga solar dan angin serta taman perindustrian hijau.
“Projek tersebut akan dibina di atas tanah seluas 6,070 hektar hingga 12,140 ekar di Kota Marudu, Sabah,” katanya.
Katanya, semua pihak terlibat akan bekerjasama untuk menjalankan tinjauan tanah dan pemeriksaan tapak, memudahkan pengenalpastian tapak yang optimum, dan untuk mewujudkan struktur konsortium.
“Ini bagi memastikan penjajaran dengan pihak berkepentingan tempatan dan antarabangsa yang berminat dalam usaha niaga ini,” katanya.
LBS Bina bekata kerja-kerja dalam perkongsian itu akan bermula pada tarikh yang ditetapkan dalam MoU itu dan akan berjalan selama 12 bulan.
Sementara itu, kerjasama itu boleh dilanjutkan selama tempoh yang dipersetujui oleh pihak yang berkaitan.- DagangNews.com