MAHB capai penyelesaian dengan KAFS berkaitan tuntutan ganti rugi RM456 juta | DagangNews Skip to main content

MAHB capai penyelesaian dengan KAFS berkaitan tuntutan ganti rugi RM456 juta

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 31 Dis - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah mencapai persetujuan dengan Kuala Lumpur Aviation Fuelling System Sdn Bhd (KAFS) melalui proses timbang tara, berhubung satu pertikaian membabitkan tuntutan ganti rugi sebanyak RM456 juta oleh KAFS.

 

Pertikaian itu, yang bermula pada tahun 2015, melibatkan tuntutan KAFS berikutan pengurangan tempoh konsesi di bawah perjanjian kemudahan lapangan terbang (AFA) yang ditandatangani pada tahun 2007.

 

Ia timbul selepas perubahan dalam perjanjian operasi antara anak syarikat MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MA Sepang) dan kerajaan Malaysia pada tahun 2009, yang mengurangkan tempoh konsesi daripada 50 tahun kepada 25 tahun.

 

 

KAFS memfailkan permohonan untuk proses timbang tara bagi mencari penyelesaian undang-undang, dengan tujuan mendapatkan pampasan akibat kesan kewangan daripada pengurangan tempoh konsesi yang telah berlaku.

 

 

Kuala Lumpur Aviation Fuelling System Sdn Bhd (KAFS)

 

 

Pada 2018, Tribunal Timbang Tara memutuskan bahawa KAFS berhak menerima ganti rugi.

 

Bagaimanapun, jumlah pampasan yang akan diberikan ditangguhkan ke prosiding berasingan.

 

Dalam persetujuan yang dicapai, MAHB berkata, KAFS dan anak syarikatnya, MA Properties, telah memeterai perjanjian penyelesaian berkaitan dengan jumlah pampasan yang akan diberikan, namun jumlahnya tidak didedahkan.

 

"Penyelesaian ini dijangka tidak memberi sebarang kesan material kepada pendapatan atau aset bersih syarikat bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2024," kata MAHB dalam satu kenyataan. - DagangNews.com