Malaysia perlu lebih ramai juruaudit dalaman bertauliah bagi tangani keperluan mendesak | DagangNews Skip to main content

Malaysia perlu lebih ramai juruaudit dalaman bertauliah bagi tangani keperluan mendesak

Ketua Pegawai Integriti & Jaminan di SD Guthrie Berhad, Suhailah Mohamed Abdulla (kanan) menerima Anugerah Penglibatan Terbilang IIAM daripada Ketua Audit Negara, Dato' Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi pada Majlis Graduasi dan Anugerah Korporat IIAM 2024, di Kuala Lumpur pada 2 Disember 2024.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 Dis - Malaysia memerlukan lebih ramai juruaudit dalaman bertauliah yang terlatih mengikut piawaian global untuk menghadapi cabaran keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI), kelestarian, serta keperluan tempatan yang mendesak. 

 

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, ini kerana juruaudit dalaman adalah individu yang menjaga ketelusan dan bertanggungjawab memastikan perniagaan dan institusi awam beroperasi dengan integriti yang seterusnya dapat membina kepercayaan awam.

 

Beliau sehubungan itu menyeru lebih banyak agensi kerajaan, syarikat korporat dan institusi akademik melengkapkan kakitangan mereka dengan pensijilan yang diiktiraf secara dalaman bagi meningkatkan kualiti audit, pengurusan risiko dan tadbir urus organisasi.

 

"Jabatan Audit Negara juga akan terus bekerjasama dengan Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIAM) untuk menggalakkan tadbir urus korporat yang baik, memandangkan kepentingan dan kedudukan pensijilan IIAM serta latihan untuk profesional audit dalaman," katanya pada Majlis Graduasi dan Anugerah Korporat Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIAM) 2024 di sini pada 2 disember 2024. 

 

Sementara itu, Presiden IIAM, Khaidzir Shahari berkata, permintaan untuk juruaudit berkelayakan dan berkemampuan kini lebih tinggi, terutamanya apabila syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan-badan lain sedang mengambil langkah untuk bersedia bagi usaha audit Jabatan Audit Negara pada tahun depan.

 

Selain itu katanya, terdapat minat yang semakin meningkat terhadap kelayakan pembangunan profesional berterusan ditawarkan oleh pihaknya yang membolehkan juruaudit dalaman memiliki penarafan di peringkat global.

 

"IIAM akan memperkukuhkan usaha untuk meningkatkan bilangan Juruaudit Dalaman Bertauliah (CIA) dalam tempoh terdekat. 

 

Institut akan melancarkan lebih banyak program kesiapsiagaan, sambil mengeratkan kerjasama dengan badan pengawal selia, profesional dan institusi swasta untuk meningkatkan profil profesion audit dalaman di Malaysia," jelasnya.

 

Pada Majlis Graduasi dan Anugerah Korporat IIAM 2024 itu, sebanyak 115 ahli diiktiraf sebagai CIA selepas berjaya menamatkan pelbagai program pensijilan yang diiktiraf dalam tempoh dua tahun lalu, menjadikan jumlah juruaudit dalaman bertauliah yang berdaftar di Malaysia kini mencecah 827 orang. 

 

Beberapa syarikat turut dianugerahkan Anugerah Penglibatan Terbilang IIAM kerana komitmen tinggi terhadap Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) iaitu SD Guthrie Berhad, Tenaga Nasional Berhad, SIRIM Berhad, KPJ Healthcare Berhad, FGV Holdings Berhad dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd.

 

Di samping itu, Malayan Banking Berhad (2022) dan Petronas Group (2023) masing-masing meraih Anugerah Kontinjen Terbesar Persidangan Kebangsaan, kerana menghantar kakitangan paling ramai ke acara tersebut. 

 

Pada acara berkenaan, sebanyak 64 organisasi termasuk universiti, agensi kerajaan dan syarikat tersenarai awam menerima Anugerah Kristal Jubli Korporat kerana menjadi ahli institut selama 15 tahun berturut-turut. 

 

Sementara itu, Fuad Izzuddin Dzulkifli, 36, dan Lim Hui Voon, 43, muncul sebagai Graduan Kecemerlangan CIA setelah berjaya menamatkan peperiksaan CIA dalam tempoh hanya setahun, yang biasanya memakan masa tiga tahun. - DagangNews.com